Banners

About Me

My photo
Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.

Thursday, March 31, 2005

Pantun Jenaka

Pantun Jenaka

Burung di awan terbang bersusun
turun hinggap di ranting bidara
lembu,kerbau seladang dan bison
satu keluarga hidup gembira

Kain songket indah tenunan
cantik dipakai pengantin baru
haiwan berdangdut di dalam hutan
kerna merai ketua baru


Ulam tepus berisi inti
santapan dara malam berinai
seluruh belantara sukahati
anak singa rasmi dirajai

-As Syramy
Pasir Mas, 19 1854H Mac 2005

Tuesday, March 29, 2005

Pantun : Hati Tertawan

HATI TERTAWAN

burung di awan terbang bersusun
turun hinggap di ranting bidara
hamba tertawan dek sopan-santun
elok budi indah bicara


Kain songket indah tenunan
cantik dipakai pengantin baru
sungguh cantik gadis rupawan
lemah gemalai nampak pemalu


Ulam tepus berisi inti
Santapan dara malam berinai
bagai telus ke dalam hati
mabuk asmara jiwa terbuai


-As Syramy
Pasir Mas,19 0033H Mac 200

Sunday, March 27, 2005

Pantun









Buzzy MadDozen Red Roses Expand Vase


SUNTING BUNGA


burung di awan terbang bersusun
turun hinggap di ranting bidara
di dalam puan sirih disusun
pemula cakap meminang si dara


kain songket indah tenunan
cantik dipakai pengantin baru
jiwa terpaut hati berkenan
janji termeterai cinta bersatu


Ulam tepus berisi inti
Santapan dara malam berinai
jangan terlupus cinta di hati
sepanjang masa hangat dibelai



-As Syramy
Pasir Mas,18 2319H Mac 2005


Butterflies Flowers

Wednesday, March 23, 2005

Penghargaan


Pengetua SMKRP memanggil aku dan KP Pend.Islam,Ustazah Kamariah Jaafar
untuk mengucapkan tahniah dan terimakasihnya.Beliau juga menyampaikan
ucapan tahniah dan syabas oleh Pegawai Pelajaran daerah P.Mas/Tumpat
kpd tuan rumah dan JK induk serta pengelola.

Di sini aku salinkan laporan yang aku sediakan :

LAPORAN
MAJLIS TADARUS AL-QURAN
SEKOLAH MENENGAH
CAWANGAN RANTAU PANJANG
2005M/1426H

Tarikh : Isnin, 21 Mac 2005M bersamaan 10 Safar 1426H
Masa : 7.45 pagi hingga 2.30 petang
Tempat : SMK Rantau Panjang

Venue Acara

1. Makmal Komputer : Pendaftaran peserta dan
Taklimat hakim
2. Bilik Gerakan : Tilawah Al-Quran
3. Musalla : Hafazan Al-Quran
4. Dewan Makan Asrama : Syarahan Agama dan
Perasmian Penutup
5. Bilik Bacaan Asrama : Jamuan VIP

Peralatan

1. PA Sistem :
a. Asas : milik sekolah
b. Backup : “Portable Speaker”
1 milik sekolah
2 dipinjam dari SRK R.Pjg
dan SK Gual Tinggi
2. Rakaman :
Kamera : milik sekolah
Laptop dan LCD Projector : milik sekolah
Kamera Video : dipinjam

3. Alatulis : dari pejabat sekolah dan dibeli

Penyertaan

Penyertaan oleh sekolah-sekolah dalam acara syarahan adalah seratus peratus,manakala dalam acara tilawah dan hafazan ada sekolah yang menarik diri di saat akhir kerana keuzuran peserta.

Pemenang

Lima acara dimenangi SMKA Lati dan hanya satu acara oleh sekolah lain

Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah

Disempurnakan dengan jayanya oleh Tuan Haji Kamaruzzaman Ab.Ghani , Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Mas/Tumpat.

Perbelanjaan dan Sumber Kewangan

Sila Rujuk Lampiran ( tidak disertakan )

Kerjasama

Kerjasama dari Jawatankuasa Induk,Jemaah Hakim, peserta,guru pengiring,JK pengelola,pejabat SMKRP,
Pelajar-pelajar SMKRP dan sekolah-sekolah menengah cawangan R.Pjg serta sekitar amat membanggakan.

Ulasan dan Komen

Perjalanan Majlis Tadarus Al-Quran peringkat sekolah menengah cawangan Rantau Panjang berjalan lancar dan jaya. Kelancaran dan kejayaan MTQ dan program-program lain pada masa akan datang akan lebih cemerlang sekira masalah-masalah berikut dapat di atasi :

1. Kewangan

Dengan sumber kewangan dari yuran penyertaan dan sumbangan PPD yang agak tidak releven sebagai mana disebut Tuan Pengetua SMKRP dalam ucapan alu-aluan sedikit sebanyak menjejaskan kecemerlangan majlis ini.

2. Peralatan Siaraya

Peralatan backup siaraya sepatutnya diambil berat oleh semua sekolah,kerana inilah bahagian yang paling sensitif di mana-mana walaupun di acara antarabangsa.
Jadi,dicadangkan bahawa setiap sekolah mestilah sekurang-kurangnya mempunyai dua set “portable speaker” sebagai backup sekiranya berlaku terputus bekalan elektrik.

3. Peralatan Rakaman

Peralatan rakaman khususnya kamera video dan CCTV sepatutnya dimiliki sekurang-kurang satu set oleh pihak sekolah dan di setiap PKG beserta dengan jurutekniknya.

4. Masa

Kekangan masa amat mengganggu kelancaran MTQ kali ini,iaitu masa yang singkat untuk persediaan tempat kerana selepas sehari cuti pertengahan penggal pertama majlis ini berjalan. Masalah yang paling ketara timbul ialah pada pendaftaran peserta,iaitu nama peserta hanya didapati oleh tuan rumah dan urusetia hanya diketahui pada hari acara.Ini menjejaskan juga pihak JK Buku Program dalam menjamin penyediaan buku program yang lengkap.MTQ cawangan R.Pjg kali ini juga tidak menyaksikan sokongan pengetua sekolah-sekolah terlibat kecuali dari tuan rumah dan pengerusi JK induk kerana pada masa yang sama diadakan perjumpaan atau mesyuarat pengetua-pengetua PPD P.Mas/Tumpat.

5.Sijil

Sijil-sijil penyertaan dan penghargaan peringkat cawangan atau PPD sepatutnya telah tersedia di PPD bukannya ditempah oleh tuan rumah atau JK program.

Sekiranya masalah-masalah atau kekangan-kekangan yang timbul dapat diambil perhatian dan diselesaikan,
sebarang program atau majlis di mana-mana peringkat pun akan berjalan dengan lancar dan cemerlang.

Penutup

Secara keseluruhannya saya mewakili JK pengelola berpuashati dan berbangga dengan kerjasama semua pihak serta perjalanan majlis.Kecemerlangan dan kelancaran serta kemeriahan majlis akan lebih baik jika aspek-aspek kekangan yang disebut di atas dapat di atasi.

Terima kasih juga diucapakan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan kelancaran,kemeriahan dan kecemerlangan Majlis Tadarus Al-Quran peringkat sekolah menengah cawangan Rantau Panjang.

Sekian,terima kasih,

Disediakan oleh :

t.t.
___________________________________________
( WAN MOHD ASHRAF BIN WAN MOHAMED)
Setiausaha,
JK Pengelola Majlis Tadarus Al-Quran
Cwgn Rantau Panjang


Disahkan oleh :

t.t.
________________________
( IZANI BIN AHMAD )
Penolong Kanan
SMK Rantau Panjang
merangkap
Pengerusi,
JK Pengelola Majlis Tadarus Al-Quran
Cwgn Rantau Panjang

Tuesday, March 22, 2005

Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah Menengah Cawangan Rantau Panjang

Tarikh : Isnin,21 Mac 2005M
bersamaan
10 Safar 1426H
Masa : 8.00 pagi - 2.45 petang
Tempat : SMK Rantau Panjang

Acara dan Venue :
1. Tilawah : Bilik Gerakan SMKRP
2. Hafazan : Musalla SMKRP
3. Syarahan dan Perasmian Penutup : Dewan Asrama SMKRP

Penyertaan :
Pelajar Lelaki dan Perempuan dari sembilan (9) buah sekolah
di cawangan R.Pjg iaitu seramai 54 pelajar terlibat.

Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah :
Telah disempurnakan oleh Tuan Haji Kamaruzzaman Hj.Ab.Ghani
Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Mas/Tumpat.

Pemenang :
5 daripada hadiah dimenangi oleh pelajar SMKA Lati hanya
Tilawah bahagian Perempuan dimenangi oleh sekolah lain.
SMK Rantau Panjang hanya memenangi tempat ke-3 Hafazan Lelaki.

Laporan dan Muhasabah :
Alhamdulillah dapat dijalankan dengan jayanya,mendapat komen
positif dari guru pengiring dan jemaah hakim tentang penyediaan
tempat dan kemudahan oleh tuan rumah (SMKRP).
Aku,selaku setiausaha JK Pengelola berpuashati dan lega kerana
majlis ini selesai dengan jayanya. Namun masih ada ruang dan
tempat untuk diperbaiki.
Aku juga rasa letih dan "colapse" kerana w/pun aku s/usaha
tp aku juga jd "runner".hahaha.;P
Terima kasihku kepada tuan PPD,pengetua SMKRP ( Tuan Haji
Muhammad Nordin Mohamad ) kerana memberi kepercayaan kepadaku.
Jua terima kasih kepada AJK Pengelola dan Induk,ustaz/ah SMKRP,
Jemaah Hakim,Guru-guru SMKRP,pelajar2 SMKRP yg terlibat dan
individu yg sentiasa memberiku motivasi serta inspirasi tak lain
tak bukan permaisuriku,Ruzaini jua anak2ku Syifa',Mu'eiz,Munzir
dan Sofea. Terima kasih daun keladi,lain kali kita buat lagi.

Sekian, terima kasih.

-As Syramy Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed
Setiausaha,
AJK Pengelola MTQ cwgn R.Pjg

Monday, March 21, 2005

Puisiku

Kudambakan cintamu(R)

Kau hulurkan rindu
di kuntuman senyum
di ulas bibir mekar
kau lakarkan kasih
di nakal gelagat
di petah tutur
kau ukirkan cinta
di kanvas harapan
di sinar mata

Hidangkan rindumu
hulurkan cangkir kasihmu
semerbakkan haruman cintamu
kudambakannya
seadanya...R

-As Syramy
Pasir Mas,16 2037H Jan 2005

+++=========++++==========+++







Firefly Flying LeavesBranch


Kelip-kelip,lip-lap,lip-lap


Kelip-kelip
si kunang-kunang
bersinar-sinar
ke sana, ke mari
berterbangan
di kelam malam


Lip-lap,lip-lap
berjuntaian lampu
kelip-kelipkan cahaya
pancawarna
indah suasana
meriah malam


Kunang-kunang
permisi diri
lip-lap, lip lap
angkuh
pancarkan sinar



-As Syramy
Pasir Mas,16 2300H Jan 2005


Firefly LeafSilent Night

Sunday, March 20, 2005

Puisiku

Matlamat dan cara

Termaktub hukum
matlamat takkan halalkan cara
biar suci niat
biar agung impian
biar kudus matlamat
tiada terhalal
dek jijik menjejaknya
dek kotor jalanannya
dek busuk susurnya

Tulus niat
kudus impian
suci tujuan
membela mangsa Tsunami
membina tamadun yang ranap
menyara yatim nestapa
mari kita beli tiket
"Juara Lagu 19"
mari kita ke konsert amal
"Konsert Kasih,tangan yang memberi..."
hasilnya untuk mangsa Tsunami

-As Syramy
Pasir Mas,15 2218H Jan 2005


---------+++++++++---------


Alif

Alif
tercacang-cacang
tegak
utuh

Alif
mula
pertama


Alif
Allah
ahad
azali

Alif
akur

-As Syramy
Pasir Mas,
16 2138H Jan 2005


Saturday, March 19, 2005

Puisiku

Kalut

Kalut dunia kerna petaka
ombak besar, ombak jahat melanda
gelimpang jasad tak bernyawa
musnah teratak, hancur harta
hadir segala sekelip mata
Tsunami melanda

Rayuan simpati berbagai cara
sumbangan diberi pelbagai rupa
dapat kiranya pulihkan duka
agar ringan beban mangsa
hingga jadi agenda negara
hingga padat di dada media
kalutlah jua
lamun tak hilang punca

Yang bukan mangsa lain kalutnya
tagih bantuan tak tentu hala
lagak mereka lebih teruja
seolah lakunya bukan dosa
jenis apa ini manusia

Seluruh negara lain kalutnya
bawa cerita bermacam pula
dongengan tiada akan logiknya
para ulamak sibuk berfatwa
hukum darurat inilah masa

Wahai manusia
kuseru semua
turunlah ke medan tatap suasana
rapatkan diri dengan mangsa
barulah bercerita, barulah berfatwa
barulah nanti tak tambah derita
barulah nanti tak bingit telinga
tak lagi kalut suasana

-As Syramy
Pasir Mas,10 2343H Jan 2005


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Syiling 50 sen di kocekku

Sekeping syiling 50 sen
di kocek seluarku
berdenting bunyi
berlaga kunci kereta

Sekeping syiling 50 sen
kubayar harga dua biji kuih
air suam percuma
sarapan pagiku

Sekeping syiling 50 sen
kuseluk kocek mencari-cari
ke mana gerangan
ingin kusahut rayu
pengemis tua itu

Sekeping syiling 50 sen
harga diri pengemis tua
spontan kunilai
semahal harga dua biji kuih
kan tetap dihargainya

Kuhulur jua
bukan lagi
sekeping syiling 50 sen

-As Syramy
Pasir Mas,14 1806H Jan 2005

Friday, March 18, 2005

Puisiku

Tentera tanpa senjata

Telah dikhabarkan
amaran buat yang ingkar
ingatan buat yang patuh
termaktub di dalam kitab
Tentera Allah, tentera yang taat
datang tanpa isyarat
muncul tanpa maklumat

Tak pernah tewas tentera-Nya
hadir tanpa senjata
hadir pelbagai rupa
hapuskan maksiat leluasa
hilangkan segala noda

Telah tersurat
tentera-Mu bumi tempat berpijak
digoncang bergegar
dibalik musnah
dimuntahkan air bah
tentera-Mu langit nan dijunjung
curahkan hujan lebat
tentera-Mu tak terjangka
ribut taufan
marak api
terbang Ababil
terbang sang nyamuk

Tanpa senjata
tanpa isyarat
tanpa amaran
tentera-Mu hadir lagi
gelincir dasar lautan
ganas ombak jilat daratan
Tsunami suatu amaran
Tsunami suatu ingatan
Dia tak pernah lalai
Dia takkan biarkan
hitam noda mewarna alam

-As Syramy
Pasir Mas,07 2255H Jan 2005

$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$


Tulus simpati, rakus nafsu

Longgokan wang dihulur
timbunan bantuan dikumpul
setulus simpati di lubuk hati
seikhlas kasihan sepenuh jiwa

Replika cek diusung merata
keperluan hidup penuh kontena
lensa kamera merakam segala
diserbu pemberita mewawancara
pampang peristiwa di dada media

Tulus simpati dihulur
sumbangan dirakam media
ternikmatkah segala disalur?
hanya huluran menempa nama?
tiris ia entah ke mana
rakus nafsu melahapnya

-As Syramy
Pasir Mas,08 2240H Jan 2005

Thursday, March 17, 2005

Puisiku

Seorang lelaki tua di jeti usang

Fajar Sadiq beransur diri
mentari mula tersenyum
seorang lelaki tua duduk berjuntai kaki
di rusuk jeti usang menyambut sinar
di hatinya terbentang warkah sejarah
di benak berputar roda kehidupan

Lelaki tua merenung gigi air
ada ombak lembut membelai
ada ombak ganas menghempas
di pantai kehidupan

Renungan beralih ke tengah lautan
kebiruan latar warna
keemasan disapa sinar
pada warkah sejarah

Diurai serban di kepala
selimutkan badan dari dingin menerpa
di wajah ada ketenangan
di hati ada redha


-As Syramy
Pasir Mas,24 1124H Dis 2004


^^^^^^^^^^^^^


Seorang lelaki tua di jeti usang ( 2 )

Seorang lelaki tua di jeti usang
merenung bersama mentari berensut
senja mula menjengah
duduk termangu di hujung jeti
jeti terkulai bagai bongkok dirinya

Jeti ini dulu kusambut sinar
ku sapa lembut ombak
ku tegur ganas terpaan
hari ini ombak itu liar
menerkam rakus mangsa
senget jeti ini kernanya

Sinar senja di air tidak keemasan lagi
keruh pekat sarat duka
apung hanyut ombak ragut segala
di benak lelaki tua, Tsunami tidaklah kejam
hadirnya dengan taat, dengan perintah
terlebih kejam yang ingkar perintah
bercakar sesama saudara
berkurun lama
seusia umurnya

-As Syramy
Pasir Mas,30 0045H Dis 2004

Wednesday, March 16, 2005

Puisiku






Chinese Food Box Sticky Rice SteamingFry Pan Fire


Nasi panas


Sebelanga nasi baru masak
disenduk ke pinggan
asap berkepul
dihidang bersama lauk pauk
masih panas semua


Dipersila Datuk Bendahara
menjamah juadah tersedia
nasi lalu disentuh
panas tak tertahan
dimarah tuan rumah
dihempas nasi sepinggan
bertaburan nasi
berselerak kaca
terkena kaki berdarah


"Cis !!! Nak bunuh akukah?"
tuan rumah
nasi
pinggan
siapakah bersalah?



-As Syramy
Pasir Mas,20 1811H Dis 2004




_____________________________________________



Antara Zahir dan Batin


Yang zahir itu qudrat-Nya
atasi segala mumkin

Yang batin itu iradat-Nya
lampaui segala ma'qul

-As Syramy
Pasir Mas,11 2316H Jan 2005

Catatan :

1. Mumkin = perkara mungkin
2. Ma'qul = perkara yang terfikir di akal/perkara logik

Tuesday, March 15, 2005

Puisiku

Sejenak mengenangkanmu

Saat itu nekad kulamarmu
hanya dirimu pilihanku
kaulah yang satu
tiada yang lain di kalbu

Lamaranku diterima
alangkah bahagia rasa
gembira tak terkira
kerna kaulah idamanku selamanya

Kita bersama satu pelayaran
bahgia dan membahagiakan
telah tergenggam segala impian
telah termakbul sebuah harapan

Setelah satu dekad berlalu
sejenak mengenangkanmu
ingin kuulangi saat itu
tapi...takkan lagi sama seperi dulu

Sungguh aku terkenangkanmu
Universiti Malaya,kampusku

-As Syramy
Pasir Mas,17 0000H Sept 2004


%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%


Gelagat anak udang

Seekor anak udang
gembiranya air bah melimpah
ingin dimudiki diajak sang seluang
"Pergilah engkau bermain bah
engkau hebat
pedangmu bergerigis
ada penyepit pula
renangmu laju
melompat jua
jerungpun tidak sehebat dirimu
aku tidak sepertimu, aku lemah"

"Sebegitu hebatkah aku?"
bermain di benaknya
diceritakan kepada kroni
diajak mudik bah
berenang-renang
melompat-lompat
di muka air tidak sedari

Dilihat sang nelayan
galaknya si anak udang
lagak sang jerung
ditangguknya semua
dilenyek-lenyek
diperam
belacan jadinya

Anak udang tetap anak udang
seluang tetap seluang
jerung tetap jerung
nelayan tetap nelayan

-As Syramy
Pasir Mas,11 1010H Dis 2004

Monday, March 14, 2005

Puisiku

Wanita cedera seluruh badan dipukul suami


BACHOK: Seorang wanita cedera seluruh anggota badan dipercayai didera suaminya dengan tali pinggang dan dihentak ke dinding sebelum pengsan beberapa kali dalam tempoh empat bulan lalu di rumah sewa mereka di Taman Desa Rimbunan, Peringat, Melor, di sini.




Wan Rokmini Wan Deris, 18, yang juga isteri kedua turut mengalami kesakitan di seluruh anggota badan dan kemaluan selepas disyaki cuba dijolok dengan pemutar skru dalam kejadian jam 5 petang hingga 11 malam, Khamis lalu.

Berikutan kecederaan itu, Wan Rokmini terpaksa ditahan di Hospital Kota Bharu (HKB) untuk menerima rawatan lanjut.

Wan Rokmini ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Temelong berkata, dia sebelum ini pernah didera suami yang berusia 41 tahun, juga seorang guru sebuah sekolah di sini, selepas dipaksa dan dibawa untuk bernikah di Narathiwat, selatan Thailand, Mac lalu.

“Saya tidak tahan lagi dengan perangai suami yang selalu menghentak kepala saya ke dinding hingga pengsan dan pada Khamis lalu, saya terpaksa keluar dalam keadaan separuh bogel untuk meminta bantuan, sebelum mereka menghubungi polis,” katanya.


Bini Muda

Seorang guru mendera pelajarnya
membogelkannya
sebatan talipinggang di badan
dihentak kepala ke dinding
cuba mencucuk pemutar skru di kemaluan
pengsan berkali-kali
lapor rangkaian televisyen perdana
Seorang wanita cedera seluruh anggota badan
dipercayai didera suaminya
juga seorang guru sebuah sekolah di sini
dengan tali pinggang
dihentak ke dinding
sebelum pengsan beberapa kali
dalam tempoh empat bulan
disyaki cuba dijolok dengan pemutar skru
lapor akhbar perdana

Aduhai televisyen
aduhai guru
aduhai suami
aduhai pelajar
aduhai bini muda
gamatkan suasana
gemparkan negara

-As Syramy
13 0100H Sept.2004

!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


Al-Quds

Sekudus nama
bumi kudus tiga agama
berbeza nama
ruhnya sama

Tegap terpasak Masjid Aqsa
destinasi isra', mikraj bermula
jenazah Mahdi di sini tempatnya
disolat umat akhir dunia
masjid istimewa besar pahala
sesiapa bersolat di dalamnya

Kudus nama, tempat istimewa
tidak dikudus kerna haloba
terkorban nyawa, huru-hara suasana
darah mengalir merata-rata
tangisan sayu menggamit telinga
ranap dangarnya, musnah harta
letupan senjata hilangkan segala
nyawa, harta, ayah, bonda dan saudara

Telah kering airmata
telah disabung nyawa
telah disemah darah
kita hanya mampu bersuara
kita hanya mampu simpati
kita hanya mampu mengutuk
bumi Quds masih bencana
warganya masih tidak terbela
bumi dan warganya dicabul
penuh rakus
penuh angkuh
dan aku...hanya mampu menyusun kata, lewat puisi ini

-As Syramy
Pasir Mas, 16 0037H Sept 2004

Sunday, March 13, 2005

Puisiku

Kilau matamu

Kilau matamu
merenung mata ayahanda, bonda
melirik wajah kekanda-kekandamu
bagai kerdipan bintang di jiwa

Kuntuman senyum di bibirmu mekar
manis tak lekang dilontar
sesekali tertawa hingar
hati kami jadi segar

Lontaran suara dari tangismu
adakala menusuk kalbu
adakala tanpanya kami rindu
setiap waktu

Hadirmu puteri
adalah penyeri
sebuah puri
bahgia tak terperi

-As Syramy
Pasir Mas,05 1602H Sept.2004

(((((()))))))))))))


Huda

Hadirmu menjengahku
kau ketuk pintu teratakku
kubuka penuh takzim
kupersila penuh ikram
biar kunjungan tika bersepah ruang tamu
biar kunjungan tika daku beradu
hadirmu penghormatan
sudimu penghargaan
biar sekadar sepatah kata
tidak sempat berlabuh bicara
biar sekadar meneguk rasa
tidak sempat santap bersama
biar sekadar di anak tangga
tidak sempat bermalam jua
kau tamuku
kualu-alukan hadirmu

-As Syramy
Pasir Mas,07 2241H Sept.2004




Saturday, March 12, 2005

Puisiku

Merindu Purnama

Cantik rupawan, ayu wajah
manis senyuman, sirna menyerlah
sungguh menawan, tiada termadah
hati tertawan, kasih menjengah
rindu tak tertahan, cinta berbunga indah
padamu tinggi di awan, tak tergapai galah
hanya namamu perawan, ditutur sang lidah
R daku telah tertawan, cintaku milikmu sudah

-As Syramy
Pasir Mas,01 0001H Sept.2004


#########################


Andainya...

Andainya hadirku di sini tidak dijemput
kupohon izin singgah sebentar hilangkan lelah

Andainya hadirku di sini menganggu tenang penghuni
ku permisi pergi dari istana ini

Andainya hadirku di sini timbulkan sengketa
kupohon pasti, dapat kubawa diri

Andainya hadirku di sini tiada makna
ku kan pergi jauh, berkelana bersama rasa

Andainya hadirku di sini tidak diperlukan
kupinta titipkan sepatah bicara, dapat kuterima hakikat

-As Syramy
Pasir Mas,05 0041H Sept.2004


*************************

Puisi ini tersiar dalam Dewan Agama dan Falsafah
bulan Mac 2005 halaman 51


Seorang lelaki tua di jeti usang ( 2 )

Seorang lelaki tua di jeti usang
merenung bersama mentari berensut
senja mula menjengah
duduk termangu di hujung jeti
jeti terkulai bagai bongkok dirinya

Jeti ini dulu kusambut sinar
ku sapa lembut ombak
ku tegur ganas terpaan
hari ini ombak itu liar
menerkam rakus mangsa
senget jeti ini kernanya

Sinar senja di air tidak keemasan lagi
keruh pekat sarat duka
apung hanyut ombak ragut segala
di benak lelaki tua, Tsunami tidaklah kejam
hadirnya dengan taat, dengan perintah
terlebih kejam yang ingkar perintah
bercakar sesama saudara
berkurun lama
seusia umurnya

-As Syramy
Pasir Mas,30 0045H Dis 2004

Friday, March 11, 2005

Puisiku

Usah dicela bangsaku

Melayu bangsa terperi
lemah lembut sopan berbudi
kera di hutan ingin disusui
peri bangsa lembut hati
di jiwa ada manusiawi
bukan rakus nafsu haiwani
tak tega menatap makhluk mati

Melayu bangsa terkemuka
tidak suka orang bermuka-muka
berbelit lidah palingkan fakta
bangau oh bangau jadi seloka
bukan hanya hiburan bersuka
buat renungan di hari muka
jauhi segala sifat tercela

Melayu bangsa ternama
usah dicemar, dicemuh ia
tajam fikir, minda terbuka
kerna setitik nila
tercurah susu sebelanga
bangsaku dicemuh, dihina
bagai tiada yang mulia
bagai tak bisa dibangga

Aku anak Melayu
jangan dihina, dicela bangsaku
bangkit semangat pertahan maruah
walau terpaksa mengalir darah

-As Asyramy
Pasir Mas,27 2222H Ogos 2004

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Luncur kata

Terlajak perahu bisa diundurkannya
terlajak kata buruk padahnya

Terlepas tetakan pedang bisa disanggah
terlepas pedang kata rasa kan berdarah

Kata pujangga
"kata itu kota maruah"
diceroboh, diserang
wajib pertahan, wajib dibenteng

Luncur kata dilacur
bernanah jiwa melecur
luncur maaf ditutur
sepuluh jari dihulur


Maafkan hamba atas keterlanjuran
maafkan hamba atas keceluparan

-As Syramy
Pasir Mas,30 1715H Ogos 2004

Thursday, March 10, 2005

Puisiku

Potret

Senyum manismu
di ulas bibir delima mekar
pipi pauh di layang
jelingan manja
berjilbab merah
kaku potretmu di tubir meja

Lunak merdu suara
lembut gemalai lenggok
ayu wajah
potret dirimu hidup
di ruang mata,di lubuk hati

-As Syramy
Pasir Mas,12 0018H Ogos 2004

++++++++++++++++++++

Derap Langkah

Derap langkah masa
tak tertoleh muka
tak terundur tapak
mara menyusun tapak demi tapak

Derap langkah usia
diri makin tua
rasa lemah upaya
uban penuh kepala
hakikat diri manusia
tiada kudrat kita menampannya

Derap langkah ingatan
terkadang ke depan
menelah impian
terkadang ke belakang
menoleh memori silam

Derap langkah kaki
terkadang terhenti
hayun ke depan
undur ke belakang

Derap-derap langkah
tetap tersusun
tetap terhayun
tanpa bertingkah

-AsSyramy
Pasir Mas,21 2246H Ogos 2004

Wednesday, March 09, 2005

Puisiku

Silau

Silau
sekilas pandang
malu
tak sudi
tak sanggup

Silau
sirna sinar menyucuk mata
tak terlawan
tak tertahan

-As Syramy
Pasir Mas,Sabtu 07 2000H Ogos 2004

$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$


Tautan Fantasiku

Sasterawan Negara,kugenggam
walau cuma baru bertatih

PhD,kumiliki
bukti berilnu
walau tak sealim ayahanda

Tambah suri
dialah satu-satunya idaman
calon di hati
selamanya

Jihad,barisan hadapan tentera Al-Mahdi
hapuskan Dajjal
hapuskan kebatilan

Syahid,sepasang kot di badan
bangkitku nanti
kemas dan kacak

-As Syramy
Pasir Mas,Isnin 09 2339H Ogos 2004



Tuesday, March 08, 2005

Puisiku

Bell 206 Long Ranger

Bell 206 Long Ranger
terlentang kaki ke atas
di curam cerun
tak dikunjung manusia
tak terkesan teknologi
tak terpandang dari udara

Bell 206 Long Ranger
jasad luluh kernamu
tujuh manusia terbang nyawa
kerna kau tak mampu terbang lagi
ada anak hilang ayah
ada ayah hilang anak
ada isteri hilang suami

Bell 206 Long Ranger
nama yang tak pernah didengar
Ba'kelalan
tempat terpencil
Bario
pekan di pedalaman
tiba-tiba meniti bibir
tiba-tiba terpampang di televisyen,di akhbar
sebelumnya adalah asing

Lumrah orang kita
dah terhantuk baru tengadah
dah nahas baru cakap
laluan Bario ke Ba'kelalan berbahaya
kalau tidak pejam mata
buat buta,buat pekak,buat bebal
kernamu Bell 206 Long Ranger

-As Syramy
Pasir Mas,Isnin 02 1639H Ogos 2004


============================


Amarah

Sekam dalam rasa
menyala ditiup nafsu
membara di hati
membakar salur darah
semarak pada wajah,pada kata
hangat meluap,meruap
lecur, luluh

Simbahkan dengan larutan fikir
dinginkan dengan hablur iman
terpadam amarah
terkekang nafsu
wajah kan ceria
kata kan indah

-As Syramy
Pasir Mas,Khamis 05 2345H Ogos 2004

Monday, March 07, 2005

Puisiku

Seuntai tasbih di dinding kamar

Untaian manik-manik zikir
berlenggang di sapa bayu di dinding kamar
kelu tanpa suara
senyap,bisu tanpa jawapan
kaku,gersang tanpa basah ulas bibir mengungkap kalimat
terpaku,terpana tanpa gerak jemari menghitung ucap

Indah manik-manik tersusun
di daerah mastautin ini
adalah hiasan penyeri ruang
adalah syiar sebuah akidah
tanpa dimengerti
tanpa mahu dimengerti
diri sebenarnya hidup

Akhirnya terungkai setia untaian
dimamah usia,di usang zaman
bertaburan tanpa hala
berserakan tanpa pengertian
pada untaian kehidupan

-As Syramy
Pasir Mas,Khamis,29 2233H Julai 2004

###############

Kotak fikir

Bebas teroka ruang terbuka
bebas terbang ke mana saja
bebas selami dasar realiti
bebas renangi lautan fantasi
bebas memecah dinding rasional
bebas merempuh benteng logik
bebas menerawang tanpa had,tanpa batas

Rupanya bebas ini
hanya di ruang sempit
hanya di suatu petak
berpasak iman,berdimensi wahyu
sesempit,sekecil kotak fikir

-As Syramy
Pasir Mas,Jumaat 30 2333H Julai 2004

Sunday, March 06, 2005

Puisiku

Anak kecil main api

Anak kecil di rumah bonda
di tangan kanannya botol susu
mancis di tangan kirinya
bermain keseorangan di balik pintu

Susunya masih penuh
belum dinikmati
tapi bibir mungilnya mengeluh
rasa sepi di hati

Santapan ditinggal tak peduli lagi
dibuka mancis ditangan kiri
digesek hingga keluar api
mulanya kecil di hujung lidi

Anak kecil main api
terbakar hatinya yang sepi
padamkanlah anakku
kerna api bukan mainanmu

-AsSyramy
Pasir Mas,26 1104H Julai 2004.

%%%%*******@@@********%%%%%%%

Wildan

Penghuni idaman di syurga
kekal di dalamnya
bagai kerdipan mutiara
memancar sinar cahaya

Warga pilihan
adalah idaman
adalah kurniaan
adalah teman

Perawannya tidak terjejas
khidmat terbaik menjadi tugas
janji tuhan pada yang soleh
suatu yang pasti bukan celoteh

-As Syramy
Pasir Mas,28 2346H Julai 2004

************************

Puisi ini tersiar dalam majalah
BESt edisi 5 bln Jan/Feb
(www.majalahbest.com )


Bintang di langit

Bintang di langit indah kerdipnya,
tidak tergapai tangan,
sayup menghias maya,
gemerlapkan sinaran,
di dada kelam pekat,
sinar itu seolah dekat.

Bintang di langit,
tenggelam disimbah limpahan sinar suria,
cahaya suria penuh angkuh mengisi seantero langit,
tiada ruang bintang mengerdipkan sinarnya.

Kerdip bintang di langit,
gemerlap di kelam malam,
indah gemilang memukau pandangan,
kerdipnya tetap ada,
walau tak terjangkau mata,
di limpahan sinar suria kesiangan.

Bintang-bintang di langit gemilang sentiasa,
walau di bawah sedar adanya melontar cahaya.

-As Syramy
23 2000H April 2004Pasir Mas

Saturday, March 05, 2005

Puisiku

Ku teguk secangkir cinta

Kuteguk secangkir cinta
dari dulang kasih
dengan alir lembut rindu
manisnya meresap ke jiwa
lewat janji kita
lewat kenangan lalu
lewat impian hari muka

AsSyramy
Pasir Mas,19 0003 Julai 2004

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Tak terdaya kumenahan rindu

Tak terdaya kumenahan rindu menjengah
merenggut damai nan cuma sezarah
menggoncang tangkai jiwa hingga parah
menghambur berserak hablur resah

Tak terdaya kumenahan rindu menjelma
kerna manisnya menyerap salur rasa
kerna parasnya bermain di ruang mata
kerna gemersik suaranya menggetar telinga

Tak terdaya kumenahan rindu nan mampir
namanya terlafaz di bibir
dirinya bagai hadir
walau tak terzahir

-AsSyramy
Pasir Mas,21 0020H Julai 2004

Friday, March 04, 2005

Puisiku

Kempen

Dimulakan dengan salam,
diakhiri jua dengan salam,
ditengah-tengah mengutuk,mencerca,
dimulakan dengan fatihah,
diakhiri dengan tasbih kaffarah,
di tengah-tengah mencarut,mengumpat,

Dijanjikan dengan syurga,
hasanah di dunia,hasanah di akhirat,
undilah kami,
pilihlah kami,

Undi sudah,pilih pun sudah,
menang sudah,YB dah jadi,
kempen dulu,lantaklah,
janji dulu,persetankanlah,
gaji dah dapat,gelaran pun dah dapat.

-As Syramy
Pasir Mas,17 Jul 2004

##############


Ruang Bebas

Ruang ini
bebas warna
bebas masa
bebas laku

Ruang bebas ini
terisi tanpa rela
teraksi tanpa kawal
terlaku tanpa pinta

Ruang bebas ini
terkadang penuh ceria
terkadang penuh duka
terkadang penuh seram
terkadang penuh seronok

Ruang bebas ini
hadir tika kelam menerpa
hadir tika terpejam mata
hadir tika terlena jiwa

-AsSyramy
Pasir Mas,18 2232H Julai 2004



Thursday, March 03, 2005

Puisiku

Kuraut mimpi

Dalam kelam tertutup rapat pintu realiti,
mimpi menjengah di ambangnya dengan keindahan,
aku terulit penuh celaru,
ingin kurautnya agar menjengah di pintu realiti,
tidak kesampaian.

-As Syramy
Pasir Mas,16 Jul 2004

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Syahid

Syahid
kalimah indah
janji manis Ilahi
buat yang menyintai-Nya
gugur kerna cinta itu
gugur yang diredhai

Anugerah Allah
kepada hamba yang bertuah
kepada hamba yang terpilih
bukan boleh dicari
bukan boleh dibeli
bukan boleh dihukum sesuka hati

"Pedang Allah yang Terhunus"
panglima ternama digeruni terus
pemimpin jihad hanya menang ter"kamus"
syahid diimpi,cita yang tulus
parut pedang tubuhnya terhias
tiada tempat berkulit halus,mulus
di ranjang nyawa terhembus
biar di hati kecewa bergugus
akhirnya reda takdir Yang Maha Qudus

Syahid
bintang kebesaran anugerah ulung
cita-citaku
cita-citamu
cita-cita kita

-As Syramy
Pasir Mas,16 2038H Julai 2004

Wednesday, March 02, 2005

Puisiku

Puisiku ke-100

Hari pertama,kali pertama bertapak di laman maya
28 Febuari 2004 yang lalu
kuperah idea
tercoret puisi "Aku"

Hari ini,hari ke 138 ku bertapak di sini
14 Julai 2004,hari Rabu
kugarap puisi ini
ke-100 puisiku

-AsSyramy
Pasir Mas,14 1646H Julai 2004

************************

Keretaku

Kupacu keretaku, kereta nasional buatan tempatan,
di jalanraya yang rata dan lebar,binaan kerajaanku,
terima kasihku buat mantan bendahara tanahair,
atas idea,buah fikir,wawasan dan usahamu,
menjadikan bumi tercinta negara maju dengan acuan kita,
terus kupandu keretaku,meluncur penuh selesa.
dengan jutaan terima kasih dan syukur di dada dan jiwa.

-As Syramy
Pasir Mas,16 Jul 2004

Tuesday, March 01, 2005

Puisiku

Jangan

Jangan sebuah larangan,
untuk mereka yang patuh,
jangan sebuah cabaran,
untuk mereka yang angkuh,
jangan sebuah omongan,
untuk mereka yang bodoh.
jangan,jangan,jangan.

-As Syramy
Pasir Mas,14 Jul 2004


%%%%%%%%%%%%%%%%%%


Misykat

Engkaulah cahaya langit dan bumi,
penerang di kelam alam ini.



Cahaya itu umpama lampu,
di dalam geluk kaca,
cahaya atas cahaya.



Cahaya-Mu itu menyilau mata kerdil ini,
melimpah...
bisa membutakan mata dan hati nan tersedia buta.



Ya Rabb,
kudambakan cahaya-Mu itu.



-as Syramy
10 0840H Feb.2004
3F,SMKRP