Banners

About Me

My photo
Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.

Monday, May 30, 2005

Pantun

JASA GURU

Memburu rusa di lereng bukit
Dapat napuh berbelang leher
Jasa guru bukan sedikit
Mendidik manusia batin dan zahir



Pucuk mangga menjuntai atap
Daun rumbia mencecah tanah
Ilmu diajar disemat kejap
Andai diikut tiada kan punah



Akar nipah selirat tebing
Aur bertaut di hujung bakau
Ajaranmu guru menjadi benteng
Godaan dunia takkanku terpukau



-As Syramy
Pasir Mas, 24 0316H Mei 2005

Sunday, May 29, 2005

Puisiku

Seketika itu




Seketika itu
bila awan lindungi mentari
bila kumulus litupi pelangi
bila hujan lenyapkan indah purnama
nyaring suara cengkerik
bingit laungan sang katak
deru titis hujan
adalah halwa telinga




Seketika itu
bila mata berselaput
bila hati ditutup
bila mulut terkunci
hanya telinga penyedap rasa
hanya telinga menyapa maya
terkurunglah aku dungu
terpenjara dalam kejahilan




Seketika itu
aku dambakan getar suara kalian
gapailah tanganku
jangan biarkan aku sesat
jangan biarkan aku tumbang
dalam kebodohan diri




Pimpinlah aku kawan
bimbinglah aku Tuhan






-As Syramy
Pasir Mas,24 1745H Mei 2005

Saturday, May 28, 2005

Senryu

Mentorku



Wahai mentorku
tunjuk ajarlah aku
gemilangkanku




-As Syramy
Pasir Mas,24 1806H Mei 2005

Tuesday, May 24, 2005

Pantun

Memburu rusa di lereng bukit
dapat napuh berbelang leher
celaru rasa, pening dan sakit
ralat tubuh dan walang zahir




Pucuk mangga menjuntai atap
daun rumbia mencecah tanah
duduk di tangga mengilai meratap
alun suara menceceh seranah







Akar nipah selirat tebing
Aur bertaut di hujung bakau
lafaz serapah mengubat gering
tutur bersahut nyaring meracau







-As Syramy
Pasir Mas,24 0312H Mei 2005

Friday, May 20, 2005

Penulis Yang Kukenali

Seolah-olah telah lama kita mengenali

Assalamualaikum wrt wbh




Sejak dari kunjungan saya di Sastera Muzika kelolaan sdr.nakhoda lagi kukenali insan ini.
Selain dari nakhoda,beliau adalah pengkritik dan pengulas di sana. Bila saya berpindah di esastera.com,insan ini tetap jua menjadi pengkritik dan pengulas. Kritik beliau adalah jelas,pedas,ikhlas dan tepat. Dan..kerana keikhlasan beliaulah membuat beliau tidak disenangi oleh beberapa kalangan di esastera.com. Sehinggakan karya sayapun beliau seolah-olah enggan memberi ulasan walaupun beberapa kali dipinta, walaupun di emelpun.
Bagi saya, beliau banyak mengajar saya berkarya dan membimbing saya walaupun saya penulis baru dan beliau penulis mapan, veteran dan konsisten. Setelah sekian lama bersua di alam siber, kami diizinkan Allah bersua di alam nyata pada bulan Ramadan, 1425H di Pejabat Kemas,Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan.
Kali pertama bersua,saya merasakan seolah-olah beliau bukan orang asing bagi saya,bagaikan kami bersaudara dan telah lama mengenali. Mungkin juga kerana "kegilaan" kami sama iaitu berpakain simple dan agak selekeh ( tapi saya lebih selekeh ).Penulis tersebut tidak lain dan tidak bukan Pak Subari Ahmad ( yang menggunakan nama pena Arisel BA ). Beliau banyak memotivasikan saya dan kami seakan sejiwa bila banyak karya beliau saya fahami juga karya saya beliau lebih memahami berbanding orang lain ( perasan la tu,hahaha ).




Seorang lagi penulis yang saya kenali dan bersua hanya sekali,tetapi serasa seolah-olah telah lama berkenalan ialah pengulas prolifik di esastera.com. Sejak kali pertama beliau mengulas sajak saya "Satu Tak Terbilang", hinggalah beberapa sajak lagi, saya merasakan beliau seorang yang berterus-terang dan seperti Pak Arisel kadang-kadang terasa pedas untuk ditelan. Lamun kepedasan inilah yang banyak menjadikan karya saya lebih matang dan beliau tanpa jemu membimbing saya. Kali pertama dan satu-satunya pertemuan kami hingga kini ialah di HesCom '04.Pertemuan kami seterusnya hanyalah di Yahoo Messenger dan beliau terus membimbing saya sehingga terhasillah sebuah sajak buat beliau bertajuk "Brek".Biarpun kami hanya bertemu sekali dan bertemu berkali-kali di YM sahaja,tapi saya merasakan seolah-olah telah lama berkawan dan mengenali. Dan warga esastera jua melihat dan menganggap kami seakan sepasang mentor dan mentee yang amat ideal. Beliau yang saya maksudkan ialah mentor saya Saudara Samsul Zakaria ( yang menggunakan nama pena airmas_sz,yang pernah dicemburui oleh isteri saya kerana menyangka beliau perempuan,hahaha )
Keserasian kami mungkin kerana pemikiran kami yang memang berterus terang walaupun amat pedas.




Terima kasih sifoo, saya amat bertuah kerana kesudian anda menjadi mentor saya. Terima kasih banyak-banyak.






-As Syramy
Pasir Mas, 15 2214H Mei 2005

Tuesday, May 17, 2005

Puisiku


Cikgu..Aku jadi cikgu

Guruku dulu
berkasut getah tanpa stokin
gajinya hanya belasan ringgit
tergengam erat rotan di tangan
memukul syaitani, jua haiwani
memanusiakan aku
penuh manusiawi

Aku dulu
murid kerdilmu cuma
berjalan kaki berbatu-batu
ke sekolah berlantai bumi
beratap rumbia, berdinding buluh
santapanku berharga sepuluh sen
air telaga kuteguk hilangkan dahaga
berkat birat rotanmu di tubuhku
aku kini jadi cikgu

Aku kini
tidak sepertimu cikgu
berkasut kulit berjenama import
berkereta besar ke sekolah indah
bangunan batu bertingkat tersergam megah
gajiku cikgu..ribuan ringgit
tapi aku gagal cikgu
tak mampu aku jadi cikgu sepertimu
tak mampu aku memanusiakan manusia
apalagi mengisi mereka penuh manusiawi
seperti cikgu buat padaku dulu

Sedang muridku, cikgu
tidak seperti aku dulu
mereka lebih mewah dariku
tiada lagi hormat
seperti kuhormatimu dulu
kulit mereka tidak disapa angin tangan
membunuh haiwani dalam diri
tubuh mereka jangan dibirat sepertiku dulu
membunuh syaitani dalam jiwa

Cikgu..aku jadi cikgu
tapi tidak sepertimu
aku hanya habiskan sukatan
aku hanya cemerlangkan keputusan
biarpun muridku lakunya haiwan
biarpun muridku berjiwa syaitan
itulah namanya kejayaan
itulah namanya kecemerlangan

Cikgu..Aku jadi cikgu

-As Syramy
Pasir Mas,16 2355H Mei 2005

Monday, May 16, 2005

Selamat Hari Guru 2005

Guru

Semua bangun !!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera cikgu !!
cikgu mengajarku membaca
cikgu mengajarku menulis
cikgu mengajarku mengira
cikgu mengajarku melukis
cikgu mengajarku Bahasa Melayu
cikgu mengajarku Bahasa Inggeris
cikgu mengajarku Matematik
cikgu mengajarku Sains
cikgu mengajarku Agama Islam.

Aku pandai membaca
aku pandai menulis
aku pandai mengira
aku pandai melukis
aku sudah pandai cikgu.

Terima kasih cikgu !!

-As Syramy
Pasir Mas,2004

Sunday, May 15, 2005

Puisiku

Selamat Hari Lahir, Sayangku R



Dulu kurindui wajahmu
kuterbayang senyum manismu
kuterkenang saat bertemu denganmu
kutergilakan indah namamu
kerna kau satu-satunya insan pujaan
insan pilihan hati
bertakhta di mata, bibir dan hati



Kini..ku masih rindukan semua itu
kuperlukan jua jerkah dan tengkingmu kepada putera dan puteri kita
kudambakan jua rajuk manjamu



Di hari lahirmu ini sayang
moga cinta kita bertambah subur
biar kita bukan berdua lagi
moga jodoh kita berpanjangan
biar sering kita bertelagah
moga panjang umurmu
agar dapat sehidup semati kita



Terimalah hadiahku di hari lahirmu
seadanya



-As Syramy
Pasir Mas, 15 2314H Mei 2005

Saturday, May 14, 2005

Penulis Yang Kukenali

3 orang penulis yang kukenali

Assalamualaikum wrt wbh.

Penulis atau penyair sering diberikan imej selekeh,serabut dan hidup dalam "kegilaannya".Penulis atau penyair dikatakan "gila" mungkin kerana mereka berlainan cara pemikirannya dari insan biasa. Mungkin juga kerana sensitivitinya yang memang tinggi.Di sini, izinkan saya mengupas tiga (3) orang penulis yang saya kenali dan marilah kita menilai benarkah tanggapan umum seperti di atas.


Amin bin Minhad atau nama penanya Aminhad telah saya kenali pada tahun 1996,penulis yang telah memiliki berpuluh novel,antologi cerpen,antologi puisi dan cerita kanak-kanak. Ketika saya mengenali beliau tidak pernah disebut tentang perkara demikian kepada saya jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk atau berbangga dengannya. Sepanjang persahabatan sehingga tahun 2003,saya tidak tahu dan tidak pernah diberitahu tentang pencapaian beliau. Sehinggalah saya meminta biodata,sumbangan dan karya-karya beliau bila ada ura-ura untuk menjemput beliau bagi menjayakan Program Pengucapan Puisi SMKRP.Tika menatap lima(5) helai biodata dan pencapaian Aminhad yang saya kenali, terasa diri ini amat kerdil dan betapa merendah dirinya penulis yang kukenali ini. Aminhad yang berpakaian simple tapi smart ( berbanding saya yang simple dan selekeh ), mesra, kuat bekerja dan memang ada "gila"nya adalah penyair mapan dan terkemuka."Kegilaan" beliau adalah suka menerewang atau "window shopping" sedangkan barang yang dicari hanya bernilai 50sen.


Mokhtar bin Awang yang menggunakan nama sebenarnya bila menulis ( cuma diubah ejaan berbau Indonesia = Moechtar Awang ) adalah guru saya di SM Arabiah Pasir Mas.Ketika belajar,saya tidaklah rapat dan mengambil berat tentang kewujudan beliau yang mula "posting" di SMAPM sekitar tahun 1986.Saya lebih mengenali dan mula mendekati beliau bila kami menjadi rakan sejawat bila beliau ditempatkan mengajar di SMKRP.
Rupa-rupanya cikgu yang suka berkemeja petak-petak ini, adalah juga penyair yang telah mempunyai antologi puisi dan cerpen peribadi.Dalam sikap selamba,rendah diri dan tersendiri beliau,ada juga "gila"nya yang tersendiri. Beliau amat tegas dengan keputusan mesyuarat dan tetap pendiriannya,inilah sikap beliau yang dikatakan "kegilaan" oleh manusia sekitar.


Penyair ketiga yang saya dan kita kenali adalah tidak lain dan tidak bukan Prof.Dr.Ir.Wan Abu Bakar bin Wan Abas yang menggunakan nama pena drirwan.
Saya mula terbiasa dengan nama drirwan di alam siber pada awal tahun 2004 bila saya menyertai esastera.com. Di alam siber,beliau seorang yang mesra, sedikit "regimental",
mengambil berat dan bertolak ansur ( walaupun kadang-kadang bagaikan beliau mengorbankan diri dan prinsip ).Di alam nyata sehingga coretan ini ditulis saya hanya tiga(3) kali bertemu beliau, ternyata beliau memang mesra, mengambil berat dan kaya senyuman (yang amat memikat,tulah sebab Cikgu Hasimah terpikat kot,hahaha )
Sepanjang tiga pertemuan itu hanya satu "kegilaan" beliau yang saya kesan, "kegilaan" yang sama macam saya iaitu keretaku syurgaku. Atas kereta beliau semuanya ada,dari pakaian rasmi,buku,kertas kerja,diari dan mungkin juga duit. Beliau adalah seorang yang amat simple,tidak berprotokol ( dengan saya dan kawan-kawan),sedangkan beliau seorang profesor, engineer, doktor falsafah dan penaung esastera.com.


Dari tiga orang penulis yang saya kenali ternyata imej selekeh dan serabut pada penyair adalah tidak benar. Cuma imej "kegilaan" itu adalah sebenarnya imej tersendiri yang membentuk corak rupa karya mereka.
Ketiga-tiga penulis dan penyair ini adalah merupakan insan seni berhati mulia dan tidak kedekut ilmu. Merekalah sebenarnya yang memberi semangat dan kekuatan kepada insan yang bergelar As-Syramy(ramy0722) ini.


Sekian,wassalam.



-As Syramy
Pasir Mas,13 1111H Mei 2005

Thursday, May 12, 2005

Puisiku

Sekuntum kudup di mekar taman

Sekuntum kudup itulah aku
enggan kembang di mekar taman
usiaku sehari cuma
bukan layakku
tebar kelopak indah

manis bermadu

Sungguh aku kerdil
sungguh aku kenit
di tengah-tengah mekar kuntum
pancawarna
aneka haruman
melimpah madu
disunting kumbang dan rerama
sedang aku masih kudup kuncup
tiada seri


Berikanku ruang
limpahkanku sinar mentari
hulurkanku udara bersih
mekarkan kudupku ini

menunggu dan menanti sekian lama
izinkanku

-As Syramy
Pasir Mas,12 2332H Mei 2005

Monday, May 09, 2005

Kerja Kursus Pend.Islam PMR 2005

Kerja Kursus Pend.Islam PMR 2005

Perjumpaan dengan ibubapa/penjaga dan calon-calon PMR 2005 SMK Rantau Panjang telah diadakan hari ini bagi menyiapkan kerja kursus Adab dan Akhlak Islamiah bagi m/pel. Pendidikan Islam.

Tarikh : Isnin,09 Mei 2005
Tempat : Dewan Asrama SMKRP
Masa : 8.00 - 10.00pagi ( Pusat DC 029 )
10.30pagi - 12.30tgh ( Pusat DC 030 )

Alhamdulillah program berjalan lancar dan mendapat kerjasama padu ibubapa/penjaga calon.

Sunday, May 08, 2005

Selamat Hari Ibu

Bondaku


Kudisayangi
tanpa sempadan waktu
bahagia aku


-As Syramy
Pasir Mas,03 2119H Mei 2005

Saturday, May 07, 2005

Puisi Hari Ibu

Limpahan Kasih
( Dedikasi buat Bonda Hajjah Muzumah Awang Ibrahim )

Tumpah darah
beriring tangis
tenaga seluruh dikerah
sabung nyawa


Titipan susu
luhur kasih
belai jiwa
lapar dan haus segera terhapus


Cinta kasih melimpah
lembut belaian
menggegar arasy
menggoncang maya
syurga di telapakmu


-As Syramy
Pasir Mas,04 2137 Mei 2005

Wednesday, May 04, 2005

Pantun

Mentari Yang Ulung
( dedikasi buat Prof.Dr.Ir.Wan Abu Bakar )



Seri mawar mekar berduri
tumbuh melata siram disembur
mentari bersinar membakar diri
suluh cahaya di alam siber



Air ditelan dirasakan masam
mari diminum hilang dahaga
biar bulan serikan malam
mentari bercahaya di alam nyata




Jamu haruan dimakan malam
badan berpeluh penyakit hilang
cahayamu tuan gemerlapkan alam
tidak teduh biar dihalang




-As Syramy
Pasir Mas,(setelah kunjungan ke FKjUM)04 2105 Mei 2005


Tuesday, May 03, 2005

Jumpa Prof.Dr.Ir. Wan Abu Bakar

28 - 30 April 2005
dari Rantau Panjang ke Kuala Lumpur
Agenda :
1. Ambil kereta baru ( Gen 2, Metropolitan Grey ) pada 28 April 2005
2.Ziarah adik yang baru keluar wad kerana gastrik
3.Jumpa Prof.Dr.Ir Wan Abu Bakar pada 29 April 2005
4.Bawa pulang Mama dan Adik yg telah berada di KL lima hari lebih awal.