Doa Seorang Marhain
Tuhanku, segala puja dan puji untuk-Mu
selawat dan salam buat rasul junjungan
Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang
pada-Mu bermohon hamba
sejahterakan kami sentiasa
sepanjang waktu, selagi bernyawa
harga minyak tinggi melambung
harga barang tak pernah turun
tariff elektrik menyusul pula
entah apalah lagi selepas ini
masa depan di dalam pengetahuan-Mu
tenangkan hati kami, legakan fikir
murahkan rezeki, luaskan usaha
Amin
Tuhan Maha Mengetahui lagi Bijaksana
Dikau Pentadbir semesta alam
tanpa cacat, tanpa celanya
pada-Mu hamba mengadu
petaka apakah kini menimpa
banjir melanda tak kira masa
alam sekitar tercemar merata
tanah runtuh di mana-mana
ditebang-tebas segala belantara
rosak binasa segala harta
melayang juga nyawa manusia
lindungilah kami dari segala
Amin
Tuhan Maha Esa, Maha Berkuasa
kuasa diberi sesiapa Dikau kehendaki
juga Kau renggut daripada yang dikehendaki
berkatilah dan panjangkan usia
Kebawah Duli Seri Paduka Baginda
pimpinan kami negeri dan negara
anugerahkan pemerintahan adil lagi saksama
jauhkan korup harta dan kuasa
pandai berkata, tindakan tiada
Amin
Tuhan Maha Adil, Pemberi rezeki
jauhkan kami dari bencana, dari bala
biar Dikau ingin menduga
sabar, tabah, iman dan amal
ujilah kami sekadar terdaya
sekuat termampu kami tanggungnya
kerdil kami, sekerdil-kerdilnya
Amin
Makbulkan segala diminta, terimalah doa
Amin
-As Syramy
Pasir Mas,05 1428H Jun 2006
Penyair adalah insan yang menukilkan peristiwa di persekitarannya dalam susunan kata-kata puitis.
Banners
About Me
- ramy0722
- Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.
Monday, June 05, 2006
Subscribe to:
Posts (Atom)