Aku Gadis
Melayu Yang Merdeka
Wahai… lelaki pujaan….
Aku gadis melayu yang merdeka
Memang aku menangis kerana aku gadis melayu
Memang aku merindu kerana aku gadis melayu
Memang aku terjajah dengan suara mu
Memang aku terjajah dengan
janji mu
Memang hatiku terhiris, hatiku kepedihan, hatiku
kekosongan
Memang aku kecawa petang kita termendung
Namun…
Aku gadis melayu yang merdeka
Yang tidak bisa lemas dalam air mata
Yang tidak bisa tewas panahan rindu
Yang bisa melawan perasaan
Yang bisa membina benteng janji
Yang bisa…. Yang bisa…. Yang bisa….
Yang bisa bangkit dari rebah….
kerna
aku gadis melayu yang merdeka
yang bisa bangkit dari rebah
bukan bertatih tapi
merangkak
bukan merangkak tapi berlari
bukan berlari tapi terbang
terbang, aku terbang, aku terbang
Aku gadis melayu yang merdeka
Setiap ruang akan aku takluki
Setiap peluang akan aku tembusi
Aku gadis melayu yang merdeka
Kita srikandi melayu yang merdeka
Kale tupoo
Pondok Lati
ULASAN SAJAK “ AKU GADIS
MELAYU YANG MERDEKA” KARYA SDR.KALE TUPOO OLEH
ramy0722
Assalamualaikum wrt.wbh
PENDAHULUAN
Sudah sekian lama saya tidak mengulas sajak, kini saya gagahi untuk
mengulas sebuah hasil tangan ahli esastera yang telah sekian lama memerhati di
portal ini. Saya berani menyatakan demikian kerana beliau selalu mengajak saya
berbincang setiap kali saya menyiarkan sajak terbaru. Sdr.kale tupoo adalah nama
yang mendapat semangat baru setelah beliau menghadiri Akademi Sastera Siber di
Kota Bharu baru-baru ini, katanya beliau merasa kagum dengan semangat kita ahli
esastera yang bekerja untuk menjayakan akademi tersebut dan diperkenalkan kepada
ahli-ahli esastera terutamanya kepada founder kita, Prof.Dr.Ir.Wan Abu Bakar dan
sdr.Anbakri.
Penyair adalah guru pengiring pelajar-pelajar SMK Rantau Panjang yang
memberi komitmen mengikuti AKSASI
seratus peratus, beliau adalah kaunselor di sekolah . Setelah melihat hubungan
erat antara kita, menimbulkan kekaguman kepada beliau apabila penulis maklumkan
bahawa antara ahli yang hadir baru-baru ini ada yang baru bersua kali pertama di
alam realiti spt.sdr.zulfiqar, sdr.redzuan, sdr.naimisa, sdr.fahdrazy,
sdr.fiezanur dan sdr.hani hamsyari. Lebih mengkagumkan beliau bila melihat SN
Datuk A.Samad Said melayan karenah peserta-peserta AKSASI penuh sabar, mesra dan
tanpa jemu. Bahkan beliau sendiri sempat bergambar dan meminta autograf SN
tersebut.
Penulis terdorong untuk mengulas sajak penyair kerana pada pandangan
penulis beliau bukanlah sebarang penyair kerana membaca sajak pertamanya “Aku
Pepatung Bukan Merpati” yang dihantar ternyata beliau bukan penyair yang boleh
dipandang sepi. Maka di sini nikmatilah seadanya ulasan sajak kedua yang
dihantar beliau ke komuniti penyair.
BENTUK
DAN GAYA BAHASA
Sajak ini mempunyai enam (6) rangkap dengan setiap rangkap mempunyai
bilangan baris dan berima berikut : 1 (a), 7 ( a,b, b,b, b ,c, d ), 8 (
a,b,b,c,a,d,b,e ), 7 ( a,a,b,c,d,e,e ), 3 ( a,b,b ) dan 2 ( a,a). Terdapat
pengulangan vokal a dan e pada baris pertama rangkap kedua seperti berikut
: Aku gadis melayu
yang merdeka dan pengulangan konsonan m,n dan g pada baris kedua rangkap kedua
seperti berikut :
Memang aku menangis kerana aku gadis melayu.
Penyair juga banyak menggunakan teknik pengulangan dalam sajak ini dengan
mengulangi lima (5) kali ungkapan “Aku gadis melayu yang merdeka”, pengulangan
“memang aku” sebanyak lima (5) kali, “yang bisa” juga tujuh kali, “yang tidak bisa”
sebanyak dua kali, “terbang” tiga kali,”aku” 13 kali dan “setiap” dua kali.
Baris paling pendek ialah baris pertama rangkap kedua dan ketiga iaitu satu
perkataan dengan dua sukukata iaitu “namun” dan “kerna”, manakala rangkap paling
panjang ialah baris keenam rangkap kedua iaitu “Memang hatiku terhiris, hatiku
kepedihan, hatiku kekosongan”
dengan 22 sukukata. Berpandukan kriteria di atas, sajak ini berbentuk
bebas.
Terdapat beberapa kesalahan dalam penulisan yang terlepas pandangan
penyair antaranya gadis melayu yang sepatutnya ditulis Gadis Melayu, suara
mu dan janji mu sepatutnya suaramu
dan janjimu serta kerna sepatutnya kerana.
TEMA
Seimbas pandang sajak ini bertemakan semangat terhadap Gadis Melayu dan
kritis terhadap lelaki pujaan. Ini kerana sajak ini ditujukan kepada lelaki
pujaan dengan ungkapan “Wahai… lelaki pujaan….” pada rangkap pertama,
siapakah lelaki pujaan itu? Hanya penulis dan mereka yang peka dapat menerka
siapakah gerangannya.
Rangkap kedua yang berbunyi :
Aku gadis melayu yang merdeka
Memang aku menangis kerana aku gadis melayu
Memang aku merindu kerana aku gadis melayu
Memang aku terjajah dengan suara mu
Memang aku terjajah dengan
janji mu
Memang hatiku terhiris, hatiku kepedihan, hatiku
kekosongan
Memang aku kecawa petang kita termendung
Di sini, penyair mengungkapkan perasaan seorang Gadis Melayu terhadap
lelaki idamannya bahawa dia adalah gadis merdeka yang menangis, merindu,
terjajah dengan suara, dengan janji lelaki idaman lalu hatinya terhiris, pedih,
kosong dan kecewa yang membawa kepada kemurungan dan masa depan yang suram atau
kerana hubungan mereka yang terputus pada ungkapan penyair “ petang kita
termendung”
Rangkap ketiga pula :
Namun…
Aku gadis melayu yang merdeka
Yang tidak bisa lemas dalam air mata
Yang tidak bisa tewas panahan rindu
Yang bisa melawan perasaan
Yang bisa membina benteng janji
Yang bisa…. Yang bisa…. Yang bisa….
Yang bisa bangkit dari rebah….
Pada rangkap ini penyair menjelaskan bahawa Gadis Melayu itu walaupun
kecewa namun masih merdeka, tidak mahu terus menangis, tidak rela terus merindu
serta masih bisa melawan perasaan, membina kekuatan dan bisa bangkit dari
kekecewaan.
Azam Gadis Melayu ini diperkuatkan dengan pengulangan kalimat “yang bisa”
sebanyak tiga kali. Tetapi sesuatu yang agak tidak ekonomis pada penggunaan kata
ialah meletakkan penghubung kata seperti “namun” dan “kerna” pada rangkap ini
dan rangkap berikutnya. Ia boleh saja disambung dengan baris berikutnya atau
terus dibuang.
Rangkap berikutnya ialah :
kerna
aku gadis melayu yang merdeka
yang bisa bangkit dari rebah
bukan bertatih tapi
merangkak
bukan merangkak tapi berlari
bukan berlari tapi terbang
terbang, aku terbang, aku terbang
Penyair mengungkap bahawa Gadis Melayu ini memang kuat kerana dia gadis
merdeka yang bisa bangkit dari rebah bukan sahaja dengan bertatih, merangkak
atau berlari bahkan bisa terbang . Ya terbang, di dalam komen sinis di bawah
sajak ini pembaca tersebut menunggu untuk melihat gadis ini terbang. Pada hemat
saya, terbang yang diulang tiga kali di sini bukan bermaksud gadis itu akan
terbang seperti langsuir atau Pontianak Harum Sundal Malam, tetapi menjelaskan
bahawa dia akan bangkit dengan
drastik dan dramatik di luar jangkaan kita.
Rangkap kelima yang berbunyi :
Aku gadis melayu yang merdeka
Setiap ruang akan aku takluki
Setiap peluang akan aku tembusi
Pada rangkap ini menjelaskan kepada kita maksud terbang yang diungkapkan
oleh penyair iaitu Gadis Melayu itu akan bergerak pantas mengisi setiap ruang
dan menembusi setiap peluang yang terbentang.
Rangkap terakhir, penyair mengulangi bahawa aku adalah Gadis Melayu yang
merdeka yang akan menyertai wanita-wanita lain menjadi srikandi yang merdeka
tidak terbelenggu dengan lelaki pujaan yang mungkir padanya dengan ungkapan
“ Aku gadis melayu yang merdeka, Kita srikandi melayu yang
merdeka”
PENUTUP
Sekian sahaja percubaan saya sekali lagi untuk menerka yang tersirat di
sebalik yang tersurat, mentafsir makna di sebalik kata dan mengulas sebuah sajak
penyair yang mempunyai masa depan yang cerah. Makna sebenar sajak ini adalah apa
yang bermain di minda penyair, namun, apabila sesuatu karya dilontar kepada
khalayak, maka tafsirannya adalah terserah kepada khalayak. Namun penyair masih
perlu bertanggungjawab kepada karya walaupun pemahaman khalayak bertentangan
dengan maksud penyair.
Insan kerdil lagi lemah,
-As Syramy
Pasir Mas, 01 1240H
Sept.2006