Banners

About Me

My photo
Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.

Saturday, September 18, 2004

Ramy0722 diwawancara di komuniti profil esastera.com ( www.communityzero.com/profil)

RAMY0722 DIWAWANCARA OLEH ABDULLATIP

1.Assalamualaikum. Giliran sdr Ramy0722 diwawancara. Harap saudara sudi menjawab soalan-soalan berikut dengan jujur kerana ramai yang ingin mengenali diri saudara.

#Waalaikumussalam wrt.wbh.Terima kasih atas penghormatan ini.Sesungguhnya ramy rasa tidak selayaknya penyair kerdil seperti ramy terlalu cepat mendapat giliran ini kerana ramai lagi penyair terkemuka di e-sastera.Bagaimanapun demi tidak menghampakan sdr.latip dan khalayak esastera.com hamba cuba jawab sebaik2nya.

2. Boleh beritahu nama sebenar, tempat lahir dan sedikit mengenai latar belakang keluarga dan taraf pendidikan saudara?.

#Nama batang tubuh hamba(pinjam kalimat Tok Kenali)yang dipilih almarhum ayahanda ialah Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed.Dilahirkan di Kampung Siram,Pasir Mas,Kelantan.Dari kampung kelahiran inilah hamba dapat nama pena AsSyramy yang kemudiannya hamba ringkaskan menjadi ramy dan dicampur tarikh lahir 22.07.1969 bersamaan 7 Jamadil Awal 1389 jadilah ramy0722. Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana,ayahanda hamba berpendidikan al-Azhar bidang Usuluddin dan Falsafah(1967/8)seorang ustaz manakala bonda pernah menjadi guru sekolah dewasa sebelum menjadi surirumah. Hamba bertuah kerana lahir dalam keluarga berpendidikan. Kami semua(enam beradik) mendapat pendidikan di SMU Arabiah Pasir Mas dan Alhamdulillah kesemua kami menjejakkan kaki ke menara gading.Bonda masih ada manakala ayahanda pulang kerahmatullah pada 19 Februari 2004(28 Zulhijjah 1424H).Al-Fatihah.

3. Boleh ceritakan bagaimana kehidupan saudara di zaman kanak-kanak dan remaja?. Adakah itu banyak membantu saudara menjadi seorang penulis?.

#Oleh kerana hamba dan adik-beradik lahir dalam keluarga berpendidikan,maka hidup kami penuh disiplin sehingga tidur pun berpijama.Disiplin ini terlekat di hati kami hingga kini sehingga pernah ditertawakan kerna tidur berpijama.Sejak zaman kanak-kanak lagi kami digalakkan membaca sehingga duit tabungan kami kumpulkan untuk membeli"Bujal".Ya,cara hidup ini membantu saya menjadi seperti sekarang kerna dari sekolah rendah saya ada buku cerita kanak-kanak dan ayahandabonda menggalakkan hamba menulis.Bahkan sesuatu yang istimewa ialah ayahanda hamba pernah mengisytiharkan AsSyramy adalah hanya "trade mark" hamba seperti beliau di kenali sebagai Tok Wan Mat Kerasaq.

4. Boleh ceritakan bagaimana bermulanya penglibatan saudara dengan esastera.com?. Apa pandangan saudara mengenai laman web ini dan adakah ianya membantu menyuburkan penulisan kreatif saudara?.

#Hamba hadir di esastera.com ialah setelah hamba berkarya tak silap tiga buah puisi di melayu.com,hamba dijemput ke sastera_muzika kelolaan nakhoda(Sdr.Ramlee) dari sana hamba diperkenalkan dengan esastera.com. Laman web di communityzero (esastera.com dan SM)bagi saya adalah istimewa kerana disamping berkarya kita dapat ulasan dan teguran untuk karya kita.Ini banyak membantu memperbaiki mutu penulisan kreatif hamba.

5. Saudara lebih berminat menulis sajak dan pantun. Kenapa saudara menulis dan apa sebenarnya yang ingin saudara sampaikan melalui penulisan?.

#Ya,saya meminati kedua-dua genre itu kerana idea kita boleh disampaikan dengan kalimat yang minima dengan maksud yang mendalam.Disamping itu ia tidak memerlukan masa dan kalimat yang banyak.Hamba menulis untuk mengutarakan idea hamba demi menegakkan kebaikan,keadilan dan makruf di bumi dan mencegah mungkar.

6. Saudara seorang pendidik. Boleh beritahu bertugas di mana?. Mengajar matapelajaran apa?. Adakah kerjaya guru banyak membantu minat saudara menulis?.

#Ya.hamba seorang pendidik di SMK Rantau Panjang,Kelantan mengajar matapelajaran Pendidikan Islam.Kerjaya hamba membantu penulisan?mmmmmmmmm bolehlah dikatakan begitu,kerana di sekolah adalah cermin masyarakat.Di dalamnya ada pelbagai latar belakang dan fikrah manusia samada guru,pelajar atau stafnya.Ye tak Cikgu Hasimah?.

7. Dalam tempoh 5 bulan menyertai esastera saudara telah menulis 68 buah sajak dan berpuluh pantun. Saudara penulis yang paling aktif. Boleh beritahu apa yang membuat saudara begitu "bersemangat" menulis?.

#"Penulis Paling Aktif" ye ker? tidaklah hamba berhak menerima gelaran itu.Hamba bersemangat menulis kerana di sini sastera adalah "sastera untuk masyarakat"yang mana gaya penulisannya bagi hamba agak mudah dan simple.Sebelum ini hamba berkarya demi "sastera untuk sastera" atau sesetengah orang panggil sastera syok sendiri jadi penulisannya agak susah disiapkan dan difahami seperti puisi hamba"Api Dalam Air".

8. Sajak pertama saudara di esastera "aku" tersiar pada 28 feb dan "sarapan pagiku" pada 16 jun. Kebanyakan tema sajak saudara hanya berkisar kepada "aku". Adakah saudara terpengaruh dengan sajak-sajak Khairil Anwar?.

#Begitulah agaknya,kerana yang paling dekat dengan kita adalah diri kita.Hamba tak ingin berbohong mengatakan bahawa ianya Allah,kerana Allah dekat dengan hamba tapi hamba rasanya tidaklah cukup dekat dengan Allah. Wallahu a'lam.

9. Ada yang menganggap sastera alam siber kelas kedua. Tetapi bagi sdr AbdullahJONES adalah sebaliknya kerana itu dia tidak akan menghantar karya ke media cetak. Bagaimana pula dengan saudara?.

#Pandangan sastera siber adalah sastera kelas kedua adalah pandangan terlalu dangkal.Martabat sastera diangkat oleh pendokongnya bukan medianya.Rasanya tidak salah kita mencuba pelbagai media untuk memartabatkan sastera samada media masaa,siber atau pementasan.

10. Sajak "April 2004" ditulis sempena menyambut kelahiran anak. " Mama" ditujukan kepada ibu dan sebuah sajak sempena hari bapa. Adakah isteri, anak, ibu dan bapa banyak memberi kekuatan kepada saudara untuk berkarya?.

#Ya,selepas diri merekalah sumber ilham pendorong dan mereka yang memberi kekuatan kepada hamba.

11 Sajak "Jangan terburu-buru/ Bayu pagi/ Cenderawasih/ hasil tangkapan/rinduku" saudara dedikasikan kepada sdr Tintasukma. Sajak "Inginku bertanya/Dibawah sinar rembulan/Bulan merajuk jatuh ke riba" didedikasikan kepada sdr Alaieffa. Mungkinkah nama-nama itu juga menjadi sumber ilham kepada saudara untuk menulis?.

#Hmmmmmmmmmm soalan perangkap ni.Hahaha sdr.latp nak gossip hamba dengan tinta dan alaieffa eehhh. Sebenarnya hamba dedikasikan puisi buat sdr.tinta kerana respons pada puisinya spt hamba respons pada puisi ida munira.Jadi sumber ilhamnya adalah puisi mereka bukan tuan atau namanya.Manakala untuk sdr.alaieffa rasanya hamba tak pernah dedikasikan puisi untuknya,idea puisi itu lahir lama dulu ketika hamba bercinta dengan isteri cuma diedit kembali."Bulan Merajuk Jatuh Ke Riba" bertarikh tahun 1991 dari koleksi peribadi puisi syok sendiri macamana pulalah dikaitkan dengan sdr.alaieffa.Alahai sdr.latip. (SM)…hahaha.

12. Sajak "Aku Sebutir Batu" saudara dedikasikan kepada sdr Drirwan. Adakah sajak itu ditulis selepas pertemuan dengannya?. Apa pandangan saudara mengenai Drirwan?.

#Sajak "Aku Sebutir Batu" ditulis sebelum pertemuan dengan drirwan.Hmmmmmmmm...dari pertemuan singkat hamba dengannya,rasa2nya beliau seorang yang mudah mesra,baik,suka membantu dan hensem("collect point" tu) Maaf sekadar itulah saja yang dapat hamba katakan kerana pertemuan kami terlalu singkat.

13. Majalah sastera internet esastera.com semakin dikenali dan ramai yang memohon menjadi ahli. Apa pandangan saudara mengenai perkembangan ini?.

#Suatu perkembangan yang baik,cuma hamba cukup sedih dan dukacita yang teramat bila esastera.com pernah dijadikan tempat bersuka2 dan berpoya2 oleh sesetengah orang.Alhamdulillah kini setelah diperketatkan syarat keahlian perkara ini dapat dibendung.

14. Maaf kerana soalan ini agak peribadi. Apa pandangan saudara mengenai cinta?. Boleh ceritakan sedikit kisah percintaan saudara dengan isteri hingga membawa ke jinjang pelamin?.

#Cinta adalah rasa dan perasaan kasih yang perlukan pengorbanan,ketaatan dan ingatan(rindu) samada pada Allah,Rasul,negara,keluarga atau kekasih.Hamba bercinta dengan isteri hamba selama tiga tahun ketika dia di matrik UIA dan hamba tahun dua di UM.Selebihnya biarlah ia menjadi milik peribadi kami.

15. " Politik Orang Kampung" antara beberapa buah sajak saudara yang menyentuh masalah politik. Apa pandangan saudara mengenai politik dan adakah saudara juga aktif berpolitik?.

#Politik adalah cara mendapatkan kuasa dalam sistem demokrasi hari ini,jika betul caranya baiklah politik,jika salah caranya maka kotorlah politik. Tujuan selamanya tidak menghalalkan cara,jika politik membelakangkan prinsip ini maka automatiknya ia jadi kotor.Aktif berpolitik? Hamba masih ingat pesan almarhum atuk,berpolitik boleh,tapi jangan terlalu aktif kerana ia boleh memutuskan silaturrahim dan sahabat.Kerana pesanan itu dan pegawai A dilarang berbuat demikian,maka hamba mengikuti perkembangannya tapi tidak terjun aktif di dalamnya.

16. Bagaimana pandangan saudara mengenai penulis-penulis di esastera.com?. Dan apa nasihat saudara?.

#Penulis-penulis di esastera kini rasanya amat komited dan setia dengan esastera.Alhamdulillah mereka banyak menolong antara satu sama lain walaupun mereka penulis terkemuka spt. sdr latip sendiri,drirwan,cikgu hasimah,pak arisel dan lain-lain.

17. Ramai ahli esastera.com datang dan pergi. Ada yang nampak begitu aktif ketika mula-mula masuk. Tetapi kemudiannya menghilang diri atau hanya muncul sesekali. Mungkinkah mereka sebuk?. Atau berasa tidak diberi perhatian?. Atau ada sebab-sebab yang lain?. Apa pandangan saudara?.

#Semua kemungkinan tu boleh diterima.Tapi kalau bersastera untuk popular dan glamour,maka pastinya mereka tersalah wadah.Kerana dalam sejarah sastera dunia,popular dan glamour adalah sesuatu yang amat perit untuk digapai dan dicapai melalui wadah ini kerana khalayak yang meminatinya amat terhad. (kalau nak popular jadi penyanyi atau pelakun)

18. Apabila mood tak baik atau fikiran buntu untuk menulis, apa yang saudara lakukan?.

#Hamba minum air (bukan arak) rileks dan tidur.hahaha.Kalau dah ada tema dan persoalan hamba catatkan dan perah otak kemudian untuk menjadikannya puisi atau pantun.

19. Ada yang menyertai esastera.com sekadar suka-suka?. Ada pula tertarik kerana sayembara dan hadiah yang ditawarkan. Namun tidak kurang juga sekadar ingin mengasah bakat disamping mencari kepuasan untuk berkarya?. Bagaimana pula dengan saudara?.

#Hamba di esastera.com untuk mencari kepuasan berkarya dan mendapat bimbingan penulis terkemuka di sini.

20. Sebelum menyertai esastera.com adakah sdr pernah menyertai mana-mana laman web yang lain?. Jika pernah boleh ceritakan perbezaannya?.

#Ya.seperti hamba jelaskan di atas.Kelainannya di sini kita mendapat ulasan dan teguran pada karya kita.Selain dari itu kita dapat berinteraksi satu sama lain.

21. Drirwan berpesan kepada ahli-ahli esastera. " Masa depan sastera anda bergantung kepada esastera". Apa pendapat saudara?.

#Drirwan berpesan kepada ahli-ahli esastera. " Masa depan sastera anda bergantung kepada esastera". Hamba rasa ini adalah suatu realiti dalam era globalisasi ini,cuma sesuatu yang penting ialah tentang hakcipta karya sentiasa terpelihara.

22. Apakah usaha yang boleh kita lakukan untuk menjadikan esastera.com cermerlang gemilang dan terbilang?.

#Kitalah yang sepatutnya memartabatkannya,mempromosinya, menetapkan piawai tersendiri,saling membantu mengetengahkan ahli kita dan tidak lupa memberi merit untuk laman ini walau di mana kita berada.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan-soalan tersebut. Sekian terima kasih.

#Sama-sama, kasih (SM) dipertimbangkan….hahaha. Wallahu A'lam,wassalamualaikum wrt.wbh.

Abdullatip 18.6.2004.

No comments: