Seorang lelaki tua di jeti usang
Fajar Sadiq beransur diri
mentari mula tersenyum
seorang lelaki tua duduk berjuntai kaki
di rusuk jeti usang menyambut sinar
di hatinya terbentang warkah sejarah
di benak berputar roda kehidupan
Lelaki tua merenung gigi air
ada ombak lembut membelai
ada ombak ganas menghempas
di pantai kehidupan
Renungan beralih ke tengah lautan
kebiruan latar warna
keemasan disapa sinar
pada warkah sejarah
Diurai serban di kepala
selimutkan badan dari dingin menerpa
di wajah ada ketenangan
di hati ada redha
Pasir Mas,24 1124H Dis 2004
^^^^^^^^^^^^^
Seorang lelaki tua di jeti usang ( 2 )
Seorang lelaki tua di jeti usang
merenung bersama mentari berensut
senja mula menjengah
duduk termangu di hujung jeti
jeti terkulai bagai bongkok dirinya
Jeti ini dulu kusambut sinar
ku sapa lembut ombak
ku tegur ganas terpaan
hari ini ombak itu liar
menerkam rakus mangsa
senget jeti ini kernanya
Sinar senja di air tidak keemasan lagi
keruh pekat sarat duka
apung hanyut ombak ragut segala
di benak lelaki tua, Tsunami tidaklah kejam
hadirnya dengan taat, dengan perintah
terlebih kejam yang ingkar perintah
bercakar sesama saudara
berkurun lama
seusia umurnya
Pasir Mas,30 0045H Dis 2004
Penyair adalah insan yang menukilkan peristiwa di persekitarannya dalam susunan kata-kata puitis.
Banners
About Me
- ramy0722
- Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment