Banners

About Me

My photo
Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.

Tuesday, May 17, 2005

Puisiku


Cikgu..Aku jadi cikgu

Guruku dulu
berkasut getah tanpa stokin
gajinya hanya belasan ringgit
tergengam erat rotan di tangan
memukul syaitani, jua haiwani
memanusiakan aku
penuh manusiawi

Aku dulu
murid kerdilmu cuma
berjalan kaki berbatu-batu
ke sekolah berlantai bumi
beratap rumbia, berdinding buluh
santapanku berharga sepuluh sen
air telaga kuteguk hilangkan dahaga
berkat birat rotanmu di tubuhku
aku kini jadi cikgu

Aku kini
tidak sepertimu cikgu
berkasut kulit berjenama import
berkereta besar ke sekolah indah
bangunan batu bertingkat tersergam megah
gajiku cikgu..ribuan ringgit
tapi aku gagal cikgu
tak mampu aku jadi cikgu sepertimu
tak mampu aku memanusiakan manusia
apalagi mengisi mereka penuh manusiawi
seperti cikgu buat padaku dulu

Sedang muridku, cikgu
tidak seperti aku dulu
mereka lebih mewah dariku
tiada lagi hormat
seperti kuhormatimu dulu
kulit mereka tidak disapa angin tangan
membunuh haiwani dalam diri
tubuh mereka jangan dibirat sepertiku dulu
membunuh syaitani dalam jiwa

Cikgu..aku jadi cikgu
tapi tidak sepertimu
aku hanya habiskan sukatan
aku hanya cemerlangkan keputusan
biarpun muridku lakunya haiwan
biarpun muridku berjiwa syaitan
itulah namanya kejayaan
itulah namanya kecemerlangan

Cikgu..Aku jadi cikgu

-As Syramy
Pasir Mas,16 2355H Mei 2005

No comments: