setelur adam
setelur adam
mengetuk gerbang fana
mengikat janji, bersimpul-simpul
tatkala sedang ia membenih
di kota agum sang perempuan
akan dia
abdi segala
hanya demi NYA.
:: dia bakal khalifah ::
si adam
kini
memegang mahkota
di nafas pendek nan angkuh
dan dia
gila dunia.
-tintasukma, santai-santai di dunia fana, 260705-
Ulasan Puisi “Setelur Adam” oleh Tintasukma
Assalamualaikum wrt.wbh
Sekali lagi saya tampil mengupas di nipis kulit makna meneka di tebal
maksud sajak ini, sajak seorang penulis ternama di esastera.com yang juga
administrator mapan iaitu Saudari Tintasukma. Penulis merupakan seorang penyair
yang telah menunjukkan kematangan dalam mutu karyanya,jadi tidak hairanlah jika
sajaknya selalu dianugerahkan tiga bintang oleh Prof.Dr.Ir.Wan dan tersiar di
akhbar perdana,majalah BESt jua Tunas Cipta.
Bentuk
Jika diteliti pada rima hujung dan bait sajak ini,iaitu a,b,c,d,d,b,b,b,
pada rangkap pertama,a ( iaitu sebaris ) pada rangkap kedua dan a.b.c,d,d di
rangkap ketiga, sajak ini adalah berbentuk bebas. Begitu juga pada bilangan
baris pada setiap bait tidak menunjukkan ciri-ciri sebuah puisi tradisional
iaitu 8,1 dan 5 baris pada tiga baitnya.
Gaya bahasa
Pada rangkap ketiga di baris ketiga menampilkan aliterasi pada huruf d,n dan k seperti
berikut di nafas pendek nan angkuh jua menampilkan asonasi vokal a dan e iaitu di
nafas pendek nan angkuh .
Tema
Sajak ini sekali imbasnya bercorak balada tetapi jika dihayati dan ditelaah ada corak satira bernada sindiran. Jika dilihat pada selapis atau zahir sajak ini,ia menampilkan perasaan dan pemerhatian penulis tentang proses kejadian manusia. Tetapi jika ditelaah dan diperhati dengan sedikit mendalam sajak ini menampilkan sindiran tentang senario politik negara.
setelur adam
mengetuk gerbang fana
mengikat janji, bersimpul-simpul
tatkala sedang ia membenih
di kota agum sang perempuan
akan dia
abdi segala
hanya demi NYA.
Rangkap pertama sajak ini secara zahirnya mengisahkan tentang proses biologi kejadian manusia iaitu benih lelaki ( Adam ) berusaha bersenyawa ( mengetuk ) dan membenih di telur ( ovari ) wanita kerana memang sunnahnya begitu . Proses ini tidak lain hanyalah sebuah ketaatan kepada Ilahi yang telah mengatur sunnah tersebut ( proses persenyawaan )
Jika dilihat disebalik sajak ini, ia boleh ditafsirkan seorang atau
sekumpulan ahli politik ( setelur Adam ) yang menabur janji yang berbelit-belit
untuk menagih undi insan-insan lemah ( sang perempuan )kononnya dia hamba Allah
yang akan memakmurkan dan memajukan bumi. Pada baris pertama penulis melakukan
sedikit kesilapan yang mungkin tidak disengajakan iaitu mengeja adam dengam
huruf “a” bukan “A”, pada hemat saya Adam adalah nama khas biarpun disandarkan
dengan kaum iaitu Kaum Adam maka kedua-dua huruf K dan A perlu ditulis huruf
besar kerana ia telah menjadi nama khas jua ( Jika silap, mohon tunjuk ajar dari
cikgu dan prof. )
:: dia bakal khalifah ::
Sebaris rangkap kedua ini menunjukkan bahawa proses persenyawaan tadi
bakal melahirkan seorang manusia iaitu khalifah Allah. Maksud tersiratnya
menerangkan bahawa ahli politik tersebut yang menabur janji berbelit-belit nanti
jika beliau menang akan menjadi seorang
pemimpin.
si adam
kini memegang mahkota
di nafas pendek nan angkuh
dan dia
gila dunia.
Rangkap ketiga sajak ini, penulis menjelaskan bahawa renangan benih
manusia lelaki akhirnya berjaya melahirkan manusia ( kini memegang mahkota )
yang usianya pendek dan pada fitrahnya manusia akan sayang pada dunia ( gila
dunia ) . Di sebalik maksud tersebut, ahli politik tadi telah menang dan menjadi sekurang-kurangnya wakil rakyat untuk sepenggal iaitu suatu jangka masa yang pendek ( di nafas pendek yang angkuh ) tetapi dia angkuh. Bukan sahaja angkuh tetapi dia menjadi gila dunia dengan mengumpulkan kekayaan. Kesalahan ejaan Adam jua diulangi di rangkap ini selain prosaik pada baris keempat kerana penulis memasukkan perkataan “dan” tetapi ia tidak menjejaskan keindahan sajak ini. Penulis boleh jua mengungkapkan begini “dia, gila dunia” dengan menggabungkan baris 4 dan 5.
Penutup
Sekian sahaja sekali lagi cubaan saya untuk mengulas sajak seorang penyair ternama yang tergolong dalam senarai-senarai penyair yang saya minati. Walaupun rasanya saya bukanlah
orang yang setanding dengan mereka dari segi pengkaryaan, namun berpegang pada
motivasi sdr.nimoiz_ty dalam ulasannya bahawa tidak semua penyair berbakat dan
berani mengulas. Berbekalkan sekelumit bakat dan secebis keberanian inilah saya
mengulas sajak ini dan seperti biasa saya susun sepuluh jari mohon ampun dan
maaf jika ulasan saya menyimpang dari maksud sebenar
penyair/penulis.
Sekian,terima kasih,
Wallahu a’lam
Wassalamualaikum wrt. wbh.
Pasir Mas, 27 2115H Julai 2005
1 comment:
I loveԁ as much as yοu'll receive carried out right here. The sketch is tasteful, your authored material stylish. nonetheless, you command get got an edginess over that you wish be delivering the following. unwell unquestionably come further formerly again as exactly the same nearly very often inside case you shield this increase.
My site seo outsourcing
Post a Comment