Banners

About Me

My photo
Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.

Monday, January 31, 2005

Puisiku

Mata

Menjeling mendebarkan,
merenung mengasyikkan,
dengan sinar berkilauan,
dengan galak gerak bebola,
padanya segala kebenaran,
tiada dusta terpamit.

Celik terbuka seluas alam,
segalanya,
indah dan jelek,
gelap dan terang,
takkan terlepas pandang,
pejam,sempit sesempitnya,
tiada apa kecuali kelam.

-As Syramy
Pasir Mas,1 April 2004


*****###&&&&&###*****

Mata,hati dan matahati

Mata dan hati,
adakalanya searah, selari,
ada tikanya bercanggah,sipi,
tiadakah hakikat pada pandangan?
tiadakah kebenaran pada penglihatan?

Dari mata turun ke hati,
dari mata pandangan,
dari hati rasa,bersatu
jadi penasaran.

Matahatiperlu dirasa,
agar yang terpandang,
agar yang dirasa,
bisa dineraca.

-As Syramy
Pasir Mas, 2 April 2004

Sunday, January 30, 2005

Puisiku

Butir-butir pasir

Butir-butir pasir,
selimut peraduanmu itu,
jua ranjang lena tidurmu,
gebu dan empuk,
di ruang kelam dan sempit.

Butir-butir pasir,
berkilauan memancarkan sinar suci,
menerangi kamar beradumu.

Butir-butir pasir,
nan memenuhi mulutmu,
santapan enak,minuman dingin .

Butir-butir pasir,
di ruang kelam dan sempit,
adalah intan dan permata,
buat insan-insan terpilih.

-As Syramy
Pasir Mas,28 Mac 2004

*****&&&####&&&*****

Butir Pasir II

Butir pasir,
selimut di ranjang peraduanmu,
menggigit-gigit,
menyucuk-nyucuk jasad,
melecur mulus dan gebu kulitmu.

Butir pasir,
mengisi ruang lenamu,
menghimpit,
mendakap kejap tubuhmu,
selisih tulang rusuk.

Butir pasir,
mengisi ranum dan mungil bibirmu,
santapan busuk ,
minuman hanyir,
memual tekak.

Butir pasir,
di kelam dan sempit ruang,
mengganggu lena peraduan.

-As Syramy

Aspura,SMKSID,
P.Mas.19 1840H April 2004

Saturday, January 29, 2005

Puisiku

Aduhaiiiiii pilihanraya

Sebelum pilihanraya,
kita sibuk semakan pemilih,
konon ramai pengundi hantu,
lalu dibersihkan,
sibuk pula persempadanan semula,
konon berat sebelah,
dibahas,dipersetujui dan terlaksana.

Bila parlimen dibubar,
lobi-melobi nak jadi calon,
penamaan calon bising lagi,
ada nama tak tersenarai,
ada tempat bertanding sama sendiri,
tak kurang yang menang tak bertanding.

Tempoh berkempen lapan hari,
poster naik tinggi-tinggi,
calon mula promosi diri,
yang dah YB nak menang lagi,
yang baru pula nak jadi YB,
ada yang berparti,
ada yang pertaruhkan diri.

Hari ditunggu kini tiba,
pengundi nak pilih nak lantik ketua,
Pak Lah kata mereka tu hamba,
paling penting pangkah jua,
kecoh pula tak ada nama,
lalu nak mengundi macamana?

Dah mengundi,keputusan dinanti,
undi dikira berulang kali,
tak puashati kira lagi,
ambil masa sampai dua hari,
keputusan berubah,lain jadi.

Keputusan kini muktamad sudah,
tak puashati jumpa di mahkamah,
kerajaan negeri kini terbentuk,
kabinet persekutuan bakal dilantik,
sekali lagi lobi-melobi,
nak jadi exco,nak jadi menteri.
namun masih bising lagi,
SPR dikritik tak henti-henti.

Aduhaiiiiii pilihanraya,
itupun mujur lima tahun sekali,
kalaulah ia setahun sekali,
entahlah,apa kan jadi.

Akurlah kita keputusan pengundi,
buat apa nak bising lagi,
selamat bertugas semua YB,
bertugaslah penuh dedikasi,
selamat bertugas pak menteri,
jalankanlah amanah diberi.

Aduhaiiiiiiii pilihanraya.

-asSyramy
AsPura SMKSID,Pasir Mas,
27 2301H Mac 2004

$$$$$$@@@@$$$$$$$$$


Rinduku

Rinduku ini,
mengintai-ngintai di balik tabir hati,
menjeling ayu wajah,
menatap indah nama ,
menjenguk-jenguk andai ada kasih,
mencari-cari andai ada sayang,
menduga-duga andai ada cinta,
biar secebis secarik bulu ayam,
biar sehalus seseni zarah,
bertakhta di sudut terpencil hatimu,
mengisi seluruh ruang hatiku.

-AsSyramy
28 2216H Mac 2004,ASPURA SMKSID


Friday, January 28, 2005

Puisiku

Kita ini...

Kita ini...
menoleh peristiwa silam,
kagumi sirah nabi,
meneladani Sejarah Islam.

Kita ini...
seronok dengan tamaddun lampau.

Kita ini...
hanyut dalam arus gemilang Lembah Furat dan Dajlah.

Kita ini...
tenggelam dalam cemerlang Lembah Nil.

Kita ini...
dibuai mimpi indah Kesultanan Melaka.

Kita ini...
menyusuri jejak-jejak lampau,
menoleh-noleh kesan silam,
jangan sampai tersadung kaki,
pada tunggul-tunggul tamaddun,
luka dan rebah.

Kita ini...
menoleh jangan berundur,
berpaling jangan mundur,
sirah jadikan tapak,
sejarah jadikan impak,
menapak mara ke depan,
melangkah cipta kemajuan.
bukan hanya mendabik kita pernah di depan,
bukan hanya bermegah kita pernah merintis jalan.

Kita ini...
bangunlah,
usah lagi ditinggalkan,
kerna berbangga dengan nenek moyang,
kerna dibuai mimpi tidur yang panjang.

-As Syramy
Pasir Mas,26 Mac 2004

@@@@%%%@@@@

Hasil Tangkapan

Biar bilis tertangkap,
jerung lepas lari,
itulah lasil tangkapan,
sang nelayan meredah lautan.

Biarpun bilis cuma,
bukan seekor jerung atau yu,
jika musim belum tiba,
bilislah dulu ditangkap,

Biar bilis jadi mangsa,
bukan buta mata,
cuma buat seketika,
kan tiba masa,
jerung dan yu ditangkap pula,
kerna nelayan cukup alatannya.

-As Syramy
Pasir Mas,27 Mac 2004


Thursday, January 27, 2005

Puisiku

Ku di laman ini

Kumerayau-rayau,
mencari-cari sesuatu yang tak pasti,
ke sini,ke sana,
entah di mana-mana,
sekian lama,
tiada terhitung hari,
hampir ku tersesat di ruang terbuka.

Entah bila,entah bagaimana,
ku di laman ini,
singgah hanya mencuba,
tak pasti apa kucari.

Di sini,
kuluncur,kulayari,
puisi-puisinya kubaca,
tertarik di hati,
terpesona rasa.

Ku di laman ini,
disapa dan menyapa,
terpaut rasa kasih,
berputik cinta,
terlekat hati,
rindu pun menyapa,
ingatan tiada teralpa.

Walau tanpa hamparan permaidani,
terus bertamu,disambut mesra,
dengan hati terbuka.

-As Syramy
Pasir Mas,24 Mac 2004

!!!###@@@@###!!!

Bersatu

Bukan mitos,
bukan khayalan,
bukan mustahil,
bukan impian.

Telingkah bukan pecah,
selisih bukan gagal,
tingkah bukan gaduh,
tikam bukan musuh.

Kita pelbagai bangsa,
kita bermacam budaya,
kita beraneka warna,
kita banyak warga,
kita berbeza usia,
kita berbilang bahasa,
itulah hakikat,
itulah tabiat.

Berbeza untuk berkenalan,
bersua harus menyapa,
bersama untuk bergaul,
berhubung penuh mesra.

Perbezaan satu rahmat,
perselisihan ada hikmat,
bukan diracun dendam kesumat,
bukan dituba benih sahabat.

Berbeza bukan noktah penamat,
berbeza titik permulaan rahmat,
jangan dipadam titik pertemuan,
jangan dinafi benih penyatuan.

Berbeza matlamat satu,
berselisih mengelak buntu,
menjernihkan pekat di muara,
bukan menuba di hujung kuala.

Bersatu tidak buntu,
bersatu tidak celaru,
bersatu tetap bersatu,
bersatulah ayuh bersatu.

-As Syramy
Pasir Mas,26 Mac 2004

Wednesday, January 26, 2005

Puisiku

Akur

Tika firman diwahyukan,
"Taatlah kepada Allah,taatlah kepada rasul dan pimpinanmu",
terungkaplah dari lisan mereka,
"Kami dengar dan kami akur"

Tika disabdakan rasul junjungan,
"Sesiapa yang mengada-ngadakan sabda dariku (yang tidak kusabdakan),
awaslah kamu dipersilakan bertakhta di neraka"
terungkaplah dari lisan mereka,
"Kami dengar dan kami akur"

Tika dikhutbahkan Khalifah Pertama,
"Sesungguhnya aku telah dipilih sebagai pimpinanmu,
bukanlah aku yang terbaik.
Jika lurus perjalananku bantulah,
jika belot pimpinanku cegahlah
"terungkaplah dari lisan mereka,
"Kami dengar dan kami akur"

Tika dinasihatkan,
"Jika tertimpa secebis musibah,
janganlah engkau ratapi,
sabar dan tabahlah",
terungkaplah dari lisan mereka,
"Kami dengar dan kami akur"

"Kami dengar dan kami akur"
ungkapan yang mudah dilontarkan lidah,
tapi ada yang memilih riddah,
tapi ada yang memilih mungkar,
tapi ada yang mencipta sabda,
tapi ada yang jadi 'bughah',
tapi ada yang meratapi takdir,
sambil janjinya untuk akur.

Akurlah pada tuhanmu,
akurlah pada utusan-Nya,
akurlah pada pimpinanmu,
akurlah pada ketentuan ilahi.

-as Syramy

diedit 23 1625H Mac 2004.

# 'bughah' - pelampau atau penderhaka.

#############################


Ku menyusuri pantai

Pantai putih bersih itu kususuri,
ada tikanya kakiku tanpa sepatu ini,
dijilat ombak yang memukul pantai,
sesekali ganas bernafsu kurasa,
sesekali jinak penuh manja,

Ombak dan badainya,
sungguh tak bisa ku tampan hadirnya,
pedulikan jilatannya,
penuh nafsu ataupun manja,
selagi tumitku terpacak di bumi,
selagi kakiku terpasak di pantai,
tak bisa ia melemaskanku,tak bisa ia meragut nyawaku.

-asSyramy
24 0026H Mac 2004,Pasir Mas

Tuesday, January 25, 2005

Puisiku

Mandat

Saat ditunggu dah berlalu,
pengundi dah bersuara,
tanggungjawab terlaksana,
keputusan kan tiba.

Keputusan yang dicanang itu,
suatu mandat baru,
diperbaharuikah ia,
atau yang lain pula.

Mandat baru,
ertinya kerajaan baru,
ertinya wakil rakyat baru,
biarpun yang menang parti dulu,
biarpun yang terpilih muka dulu,
kerna kepercayaan diperbaharui,
kerna amanah diperbaharui.

Pengundi telah bersuara,
akurlah pada majoriti,
usah lagi mendabik dada,
rapatkan saf bersatu hati,
berjuang demi agama,
bangsa dan negara,
hormatilah mandat yang diberi.

-As Syramy
Pasir Mas,20 Mac 2004

!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Pos Parti

Pondok menunggu bas,
pondok rehat,
gerai kecil,
jadi meriah,
dengan poster,
dengan remaja,
dengan penyokong,
dengan santapan,
tiada siang atau malam.

Tiupan angin musim itu pun berlalu,
pondok rehat,
gerai kecil,
hilang meriah,
tiada lagi poster,
tiada lagi remaja,
tiada lagi penyokong,
tiada lagi santapan,
kembali sepi

-As Syramy
Pasir Mas,21 Mac 2004

Monday, January 24, 2005

Puisiku

Peti Undi

Dengan mulut menganga,
dikau menadah segala,
ditelan semuanya,
disimpan di perutnya.

Amanah pilihanraya ini,
akan kejap bersemi,
akan tetap di sini,
akan terpelihara kini.

Kertas undi dikira,
tugasmu telah sempurna,
hingga ketemu lagi,
pilihanraya akan datang nanti.

-As Syramy
Pasir Mas,17 Mac 2004


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Harga sebuah undi

Lorekkan mata pensel anda,
di kertas undi itu,
hanya sebutir pangkah,
di petak pilihan hati.

Undi anda ,
biar satu cuma,
harganya tidak terhingga,
masa depan sebuah negara.

Undilah demi masa depan kita,
undilah demi masa depan anak-anak kita,
undilah demi generasi muka,
undi anda amat berharga.

-As Syramy
Pasir Mas,19 Mac 2004

Sunday, January 23, 2005

Puisiku

Pilihanraya yang berlalu

Tahniah YB yang terpilih,
menang tanpa bertanding,
menang dengan majoriti,
kecil atau besar tetap majoriti,
amanah telah bermula kepada pengundi,
kepada dewan,
kepada parti,

Tahniah pengundi yang memilih,
itulah YB anda,
suara anda,
wakil anda di dewan,
mereka kan membela anda,
mereka kan jadi penyambung lidah anda,
tak kira dari parti dokongan anda atau tidak,
merekalah YB anda,majoriti telah bersuara.

YB dan pengundi sekalian,
pilihanraya telah berlalu,
rapatkan barisan,
luruskan saf,
pendokong parti yang tidak tercalon,
akurlah pada YB terpilih,
pengundi pelbagai wadah,
sokonglah YB anda.

Buang yang keruh ambil yang jernih,
Carik-carik bulu ayam,
sesudah carik bersatu kembali.

-As Syramy
Pasir Mas, 16 Mac 2004

$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$

Kelkatu

Kelkatu,
itulah aku.

Terbang ke sini dan sana,
mencari cahaya,menguak sinar,
menggapai lampu.

Patah sayap,
terhablur diri,
kepanasan,
digagahi jua.

Demi sekepal sinar,
demi sejalur cahaya,
buat petunjuk,
buat pedoman.

Kelkatu itu,
tamat riwayatnya,
mengejar cahaya,
menghambat sinar,
menerangi hidup,
seperti aku.

-As Syramy
Pasir Mas, 16 Mac 2004


Thursday, January 20, 2005

Salam Idul Adha

Salam Idul Adha
dari
Ashraf sekeluarga
Selamat Berkorban
dan
Maaf Zahir dan Batin

Tuesday, January 18, 2005

Puisiku

Manifesto

Inilah wadah parti kami,
inilah jua janji kami,
memajukan malaysia,
wawasan jadi realiti,
membina bangsa bersatu tanpa dengki,
budaya nasional kan menjadi,
bangsa terkemuka seantero bumi,
undilah kami,
undilah calon dan parti kami.

Inilah wadah parti kami,
inilah jua cita-cita kami,
melenyapkan perjuangan yang salah,
menghapuskan segala nafsu serakah,
kan kami bina sebuah kebenaran,
kan bahagia kita sepanjang jalan,
undilah kami,
undilah calon dan parti kami.

Inilah wadah parti kami,
inilah jua perjuangan kami,
menegakkan sebuah keadilan,
menghapuskan segala penganiayaan,
agar terhapus segala kepincangan,
agar ada hanya kesaksamaan,
undilah kami,
undilah calon dan parti kami.

Inilah wadah parti kami,
inilah jua harapan kami,
menyamaratakan peluang cari kekayaan,
menghapuskan segala penindasan,
tiada lagi segala tongkat,
tiada lagi hak istimewa suku-sakat,
undilah kami,
undilah calon dan parti kami.

Demikianlah manifesto untuk pengundi,
demikianlah dasar sebuah parti,
untuk tatapan para pengundi,
untuk mengundi pilihan hati.

-as Syramy,

ASPURA ,13 1100H Mac 2004

########### @@@@ ###########


Candu

Lazatnya kopi pekatmu isteriku setiap pagi ,
tidak sempurna hidup tanpanya buat sarapan,

Nikmatnya rokok yang kusedut setiap perlu,
tidak sempurna hidup tanpanya buat mencari ilham,

Senangnya hidup kita jika berduit setiap waktu,
tidak sempurna hidup tanpanya buat mencari bahgia,

Puasnya rasa jika kita berpangkat sepanjang usia,
tidak sempurna hidup tanpanya buat mencari kuasa,

Isteriku,aku kini ketagih kopi pekatmu,rokok,duit dan kuasa,
semuanya jadi candu dalam hidupku.

-As Syramy
Pasir Mas,16 Mac 2004

Monday, January 17, 2005

Puisiku

Undilah! Kita semua

Jangan lupa bawa kad pengenalan,
ke pusat mengundi,
awal-awal lagi,
kertas undi dua helaian,
parlimen dan dewan undangan negeri.

Ke petak mengundi seorang diri,
usah kita tertanya lagi,
siapakah dia patut diundi,
semua patut dah tetap di hati,
yang ingin dipangkah sudah dipasti.

Setelah dipangkah kertas undi dilipat,
ke dalam peti dimasukkan tepat,
usah bising siapa diundi,
undi rahsia jangan diragui.

Undilah kita semua,
pilihlah kerajaan untuk negara,
pilihlah dengan bijaksana,
undi kita jangan dikesali pula.

-As Syramy
Pasir Mas,11 Mac 2004


___________________________

Bayu pagi

Ribut Tsunami yang melanda itu,
biar telah menggemparkan,
biar telah menjejaskan,
namun telah berlalu.

Awal pagi ini,
meski kesan ribut wujud lagi,
bertiup nyaman bayu pagi,
berpuput nyaman menyapa diri.

Lupakan ribut itu,
biarkan tubuh disapa bayu.

-As Syramy
Pasir Mas,13 Mac 2004


Sunday, January 16, 2005

Puisiku


Durhaka


"Raja adil raja disembah,
raja zalim raja disanggah",
setia seorang sahabat menumpah darah,
hasad dengki dan nafsu amarah,
terkorban sahabat dek finah,
durhaka Jebat membela Tuah.


"Dilema Melayu" cetusan minda,
tidak sayang dan menghina bangsa,
"Melayu mudah lupa" menggegar nusa,
lancangnya mulut bangsa dicerca,
lahirlah lagi seorang pendurhaka,
jadilah Mahathir "Jebat" kedua.


Refleksi diri dan muhasabah bangsa,
terus terang dan lantang suara,
andai ini satu durhaka,
"Takkan Melayu hilang di dunia",
kan tinggal jadi cogankata.

-As Syramy
Pasir Mas,09 Mac 2004

_____________________

Menang

Pilihanraya ini,
yang bertanding ingin kemenangan,
yang menang jadi YB,
DUN atau parlimen,
yang menang dapat kerusi,
dalam dewan,
yang menang dapat gaji,
dapat gelaran.

Dah menang,
dalam dewan jangan dok menguap,
dah menang,
suara rakyat mesti terucap,
dah menang,
wang rakyat,
wang negara jangan di"ngap",
dah menang,
mesti rajin janganlah sengap.

Siapakah yang menang?
calon bertandingkah?
SPRkah menang?
ramai orang memangkah?
partikah menang?
majoriti bertambah?
rakyatkah menang?
demokrasi terserlah?

Aku tercari-cari erti menang,
apapun yang penting,
mesti menang,
menang dapat bersorak,
menang dapat berarak.

-As Syramy
Pasir Mas,10 Mac 2005



Friday, January 14, 2005

Puisiku

Jangan terburu-buru

Jangan diikut amarah itu,
jangan diikut nafsu itu,
binasa diri,
binasa parti.

Si atas pagar,
si lalang,
penentu kemenangan,
memeriah kempen.
Pendokong,
takkan berganjak,
usah dikempen,
bagi duit ambik,
bagi gula kacau,
bagi kain pakai,
tukar undi tidak sekali.

Jangan dinyahkan mereka,
jangan terburu nafsu.

-As Syramy
Pasir Mas, 08 Mac 2004

________________________________________________

Saja

Kenapa?
saja,
saja-saja,
suatu eksperimen,
tanpa optimis,
penuh pesimis.

-As Syramy
Pasir Mas,08 Mac 2004

Tuesday, January 11, 2005

Happy Birthday

HAPPY BIRTHDAY
( Selamat Ulangtahun Kelahiran)
ke-9
Anakandaku Wan SofaSyifa'

Sunday, January 09, 2005

Pusiku : Tersiar di Mingguan Wanita, 7-13 Jan.'05 bil.1103

Akal Sembilan


Akal sembilan kurniaan tuhan
menyusur lelaki di lurus jalan
cahaya wahyu membimbing insan
perkasa badan juga sandaran
amanah khalifah bukan kebanggaan
amat besar dan tinggi harapan


Akal sembilan bukan kesempurnaan
nafsu syahwat tetap berpanjangan
hingga nyawa bercerai badan
datang hasutan dari syaitan
merangsang rasa dan jiwa haiwan
kosonglah akal bukan sembilan
kebinatanganlah meragut mutiara perlindungan
kehaiwananlah merobek belas kasihan
kerakusanlan menghapus kemanusiaan
usah dipersalah akal sembilan
kerna memang sedia indah segala ciptaan
ralatnya pada insan
bukan pada kurniaan

-Piut Tok Kerasak
Pasir Mas















Friday, January 07, 2005

Puisiku : Tersiar di Millenia Muslim Januari 2005

Resmi dan Rasmi


Resmi ayam jantan, berkokok tanda pagi
rasminya, nak pastikan pagi jam jua disilau


Resmi ayam betina, bertelur sebiji riuh sekampung
rasminya, kalau tak bertelur baik disembelih


Resmi padi, makin tunduk makin berisi
rasminya, makin tinggi pangkat makin banyak protokol


Resmi ubi, diam-diam berisi
resmi besi, diam-diam berkarat
rasminya, nak gali ubi kena guna besi


Resmi enau, melepaskan pucuk masing-masing
rasminya, kalau tak berlumba mencapai kemajuan tak kemana


Resmi orang kita, terhantuk baru nak tengadah
rasminya, tak terhantuk buat apa nak tengadah
nanti dikata gila


Resmi kerja kita, rumah siap pahat berbunyi
rasminya, buat rumah memang tak pernah siap
ada saja nak diubah


Resmi kita, kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak
rasminya, kuman kita takut merebak, gajah memang dah kita jinakkan


Resmi dan rasmi
memang banyak beza


-As Syramy
Pasir Mas,20 0018H Sept.2004



Politik kita


Politik kita
akar umbi
hidung dicucuk
mata dikaburi
tak rebah lembu qurban
tak diterima dagingnya
tak tersantap gulainya
tak terziarah uzurnya
tak tersolat jenazahnya
tak sah imamnya
kerna dia bukan "orang kita"


Politik kita
pucuk pimpinan
kenyang santapnya
diziarah uzurnya
disolat jenazahnya
diikut imamnya
berdakap bila ketemu
berkongsi secawan teh
tak kira siapa
walau bukan "orang kita"


Politik kita
di umbi lain
di pucuk lain
akar berselirat
pucuk makin segar


-As Syramy
Pasir Mas,07 2327H Okt 2004


Wednesday, January 05, 2005

Puisiku : Pangkah


Pangkah ( X )

Cikgu sekolahku ajar pangkah tanda salah,
jangan banyak salah nanti tulisan dakwat merah,
kalau dakwat merah nanti kena marah,
cikgu marah,ayahpun marah.

Calon YBku ajar, disuruh aku pangkah,
dalam petak katanya,jangan salah pangkah,
petak parti diwakilinya,disitulah,
kalau dia tak dipangkah,nanti dia kalah.

Aduhai...pangkah,
satu kena marah,
satu disuruh,
dua-dua pangkah,

Pangkah jangan tak pangkah.
asal jangan pangkah-memangkah,
nanti membawa belah,
kita juga yang rebah.


-AsSyramy
Pasir Mas,Ahad 07 1833H Mac 2004



Pancing Undi



Calon wakil rakyat memancing undi,
dengan wang dilabur,
calon segak diri,
dengan janji ditabur,
calon memuji diri,
dengan lawan disembur,
calon berpaut pada parti,
dengan harapan yang subur.



Saturday, January 01, 2005

Puisiku : Kuntuman bunga semusim









Roses Swaying Back And ForthDaffodil Butterfly


Kuntuman bunga semusim


Kuntum bunga semusim
mekar mewangi di laman waktu
kisahkan segala ceritera
riwayat ceria pesona
riwayat duka nestapa
sejarah kembang semalam
semalam semusim nan lalu


Kuntum bunga di laman waktu
layu kelopak di hujung musim
kering di lipatan peristiwa
disapa lembut bayu
berterbangan kelopak satu persatu


Kuntum bunga semusim
kuncup segar berkembangan
mekar kuntuman baru
semerbak harum
lewati musim mendatang



-As Syramy
Pasir Mas,30 2323H Dis 2004