Ku di laman ini
Kumerayau-rayau,
mencari-cari sesuatu yang tak pasti,
ke sini,ke sana,
entah di mana-mana,
sekian lama,
tiada terhitung hari,
hampir ku tersesat di ruang terbuka.
Entah bila,entah bagaimana,
ku di laman ini,
singgah hanya mencuba,
tak pasti apa kucari.
Di sini,
kuluncur,kulayari,
puisi-puisinya kubaca,
tertarik di hati,
terpesona rasa.
Ku di laman ini,
disapa dan menyapa,
terpaut rasa kasih,
berputik cinta,
terlekat hati,
rindu pun menyapa,
ingatan tiada teralpa.
Walau tanpa hamparan permaidani,
terus bertamu,disambut mesra,
dengan hati terbuka.
Pasir Mas,24 Mac 2004
!!!###@@@@###!!!
Bersatu
Bukan mitos,
bukan khayalan,
bukan mustahil,
bukan impian.
Telingkah bukan pecah,
selisih bukan gagal,
tingkah bukan gaduh,
tikam bukan musuh.
Kita pelbagai bangsa,
kita bermacam budaya,
kita beraneka warna,
kita banyak warga,
kita berbeza usia,
kita berbilang bahasa,
itulah hakikat,
itulah tabiat.
Berbeza untuk berkenalan,
bersua harus menyapa,
bersama untuk bergaul,
berhubung penuh mesra.
Perbezaan satu rahmat,
perselisihan ada hikmat,
bukan diracun dendam kesumat,
bukan dituba benih sahabat.
Berbeza bukan noktah penamat,
berbeza titik permulaan rahmat,
jangan dipadam titik pertemuan,
jangan dinafi benih penyatuan.
Berbeza matlamat satu,
berselisih mengelak buntu,
menjernihkan pekat di muara,
bukan menuba di hujung kuala.
Bersatu tidak buntu,
bersatu tidak celaru,
bersatu tetap bersatu,
bersatulah ayuh bersatu.
Pasir Mas,26 Mac 2004
Penyair adalah insan yang menukilkan peristiwa di persekitarannya dalam susunan kata-kata puitis.
Banners
About Me
- ramy0722
- Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment