Banners

About Me

My photo
Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.

Thursday, June 02, 2005

Ulasan sajak

ULASAN SAJAK “KEMATIAN” KARYA INSANYALIN






Kematian sukar diterima
Menyapa tanpa dijemput
Beransur tanpa pesan
Hanya kesedihan yang ditinggalkan
Kesepian dihadiahkan
Dugaan tuhan yang menguji keimanan
Namun kadangkala kerapuhan iman
Membuat kita salah pertimbangan
Menyalahkan takdir mencela tuhan
Moga diberi keinsafan
Terima takdir tuhan dan ketentuannya
Sememangnya hidup ini lawannya mati
Kematian bisa menyapa tak kira siapa tak kira walau di mana.

Yalin ‘05’







Assalamualaikum wrt.wbh







Esastera.com merupakan wadah unggul dan ulung sastera siber masa kini, ia telah menggamit 270 orang ahli mendaftar dengan 38 orang ahli yang telah menyertakan profil mereka. Salah seorang ahli baru yang mendaftar di esastera.com dan mula aktif di komuniti penyair ialah sdr.insanYalin atau Yalin ( selepas ini akan dikenali sebagai penyair )







Walaupun penyair ahli baru esastera.com, tetapi saya percaya beliau bukanlah baru dalam bidang sastera dan penulisan ( mohon penyair sertakan profil beliau di komuniti profil ), ini berdasarkan lenggok sajaknya yang mantap. Jadi,sebenarnya saya bukanlah orang yang layak mengomel tentang sajak beliau,tetapi dek kerana terpesona dengan tema dan gaya persembahan penyair ini mengundang saya mencatatkan sesuatu di sini.







Sebelum catatan ini dipanjangkan, sebagai insan biasa terlebih dahulu saya mohon maaf dan menyusun sepuluh jari andainya catatan atau coretan saya ini menyimpang dan melencong dari maksud penyair sebenarnya.Al-maklumlah saya ni cuma insan kerdil yang baru belajar bertatih di bidang ini,tetapi gatal tangan untuk mencoretkan sesuai sebagai apresiasi kepada keindahan susunan kata dan maksud oleh penyair dalam sajak ini.







Penyair menggarapkan sajak “Kematian” ini dalam satu rangkap sahaja yang mengandungi tigabelas (13) baris.Baris ketiga adalah baris terpendek mengandungi tujuh (7) sukukata iaitu Ber an sur tan pa pe san dan baris terakhir (13) Ke ma ti an bi sa me nya pa tak ki ra si a pa tak ki ra wa lau di ma na adalah terpanjang iaitu dengan duapuluh tiga (23) sukukata. Sajak ini adalah sajak bebas jika dilihat pada rima hujungnya iaitu a,b,c,c,c,c,c,c,c,c,a,d,a .







Garapan sajak ini adalah bertema keagamaan dengan persoalan kematian yang dimulakan dengan “Kematian sukar diterima”. Penyair mengeluarkan ungkapan ini kerana manusia terleka dengan dunia sehingga kematian yang merupakan Qadak Mubram ( yang tak boleh diubah dengan doa) pun sukar diterima seperti yang termaktub dalam Surah At-Takathur.











Dua baris berikutnya ialah “Menyapa tanpa dijemput ,Beransur tanpa pesan” iaitu kematian yang sukar diterima manusia itu adalah kerana hadirnya tanpa jemputan dan perginya tanpa pesan. Dek kerana kealpaan manusia,mereka lupa bahawa sebenarnya mereka menjemput maut di setiap kerdipan mata, setiap nafas yang disedut dan di setiap saat yang dilalui. Ini kerana semuanya itu tandanya bahawa mereka telah memamah detik-detik usia mereka.







“Hanya kesedihan yang ditinggalkan,Kesepian dihadiahkan” adalah dua baris seterusnya sajak ini, akibat kematian, orang-orang tersayang di sekitar akan merasa sedih dan sepi ditinggalkan. Apatah jika yang meninggalkan kita adalah insan yang paling rapat dan bermakna dalam hidup kita.







Baris ke-enam (6) sajak ini berbunyi “Dugaan tuhan yang menguji keimanan” yang saya rasa ada dua tempat yang boleh diperbaiki. Yang pertama ialah kalimat dugaan,bagi saya kalimat ini lebih tepat jika diletakkan dengan perkataan ketentuan. Ini kerana walaupun mati itu satu dugaan, ia tidak seperti dugaan lain yang boleh dielak seperti kemalangan,dicegah seperti penyakit,dipilih seperti jodoh,dicari seperti harta tetapi mati adalah pasti dan ditentukan yang takkan tertangguh walau dielak dan dicegah juga takkan tercepat walau dipilih atau dicari seperti mafhum firman “Apabila sampai ajal mereka(sesuatu umat),tidak akan ditangguhkan walau sesaat dan tidak akan dipercepatkan”. Yang kedua ialah kalimat tuhan, kerana seperti yang pernah dimaklumkan oleh mentor-mentor di esastera.com ini, jika tuhan yang dimaksudkan adalah Allah Yang Maha Esa maka huruf “T” pada Tuhan mestilah huruf besar ( Kenapa? Kena tanya Sifoo Hasimah dan Prof. ) Jadi baris ini sepatutnya ditulis begini “Dugaan / Ketentuan Tuhan yang menguji keimanan” yang bermaksud kematian adalah ujian Tuhan demi menguji menguji iman manusia sejauh mana sabar,tabah dan reda mereka.

“Namun kadangkala kerapuhan iman,Membuat kita salah pertimbangan,
Menyalahkan takdir mencela tuhan” adalah tiga baris seterusnya sajak ini yang membawa maksud kerana kelemahan dan kerapuhan iman membuatkan manusia silap pertimbangan lantas mencela Tuhan kerana kematian yang menjenguk insan yang mereka kasihi dan cintai. Juga kesilapan pada huruf “T” pada tuhan(Tuhan) dan perkataan “kadangkala” dan “namun” boleh dipilih salah satu jika ingin menjimatkan perkataan ( tapi boleh digunakan kedua-duanya)







Empat baris terakhir seperti tiga baris pertama sajak ini, saya rasakan boleh dijadikan rangkap berasingan. Empat baris terakhir sajak ini berbunyi “Moga diberi keinsafan,Terima takdir tuhan dan ketentuannya,Sememangnya hidup ini lawannya mati,Kematian bisa menyapa tak kira siapa tak kira walau di mana.”Ia merupakan harapan penyair agar diberi keinsafan oleh Allah supaya menerima takdir dan ketentuan-Nya dengan reda.Akhirnya penyair menegaskan bahawa hidup lawannya mati dan kematian akan berkunjung tidak mengira siapa ( walaupun Kekasih Allah sendiri) dan tak kira di mana saja samada di lautan,daratan,udara ataupun di dalam peti besi berkunci rapat sekalipun Malaikat Maut pasti datang dan kematian pun menjengah.







Di baris ke-12 iaitu “Terima takdir tuhan dan ketentuannya” terdapat kesilapan pada perkataan t(T)uhan dan pada perkataan “nya” yang merujuk kepada Allah sepatutnya ditulis dengan huruf besar pada awal perkataan dan digunakan tanda sempang iaitu ketentuan-Nya.Baris terakhir sajak ini iaitu “Kematian bisa menyapa tak kira siapa tak kira walau di mana.” masih boleh diperbaiki dengan meletakkan tanda koma menjadi “Kematian bisa menyapa tak kira siapa, tak kira walau di mana.” Juga perkataan tak kira dan walau pada hemat saya boleh dipilih salah satunya kerana membawa maksud yang serupa samada tak kira di mana atau walau di mana.







Demikianlah usaha saya menyelam dalamnya maksud sajak ini dan meneka dalam kesamaran, namun tetap saya gagahi jua walau terpaksa bernafas dalam lumpur ( hahaha..melalut la plak ) Harapan saya, walaupun coretan atau catatan ini tidak menjejak di dasar sajak ini,sekadar di permukaan pun cukuplah asalkan saya dapat menanggap beberapa persoalan yang cuba digarap penyair.Maksud sebenar sajak ini hanya penyair dan Allah saja yang mengetahuinya,saya sekadar mengupas di nipis kulitnya.Jadi, sekali lagi saya memohon ampun dan maaf serta menyusun sepuluh jari andainya tanggapan saya menyimpang dan menyeleweng ( asal jangan sesat dan menyesatkan kira ok la kan ? hahaha )







Akhir sekali, saya yakin penyair ini adalah jauh lebih mapan dari saya, cuma menjengah bagai harimau sembunyikan kuku dan taringnya. Dari garapan idea beliau pada sajak ini, menunjukkan beliau bukan calang-calang orang,insan seni yang berbakat besar dan melimpah cetusan ideanya. Saya rasa adalah suatu kerugian yang besar jika sdr.insanYalin tidak menyiarkan profilnya di komuniti profil memandangkan hasil karyanya yang bermutu. Beliau mampu menggugat penyair idola saya sdr.nimoiz_ty untuk anugerah APAS atau menggondol anugerah ASWAS sekalipun adalah tidak mustahil jika dilihat pada bakat yang Allah berikan padanya.







Sekian,terima kasih,







Wabillahittaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.




















-As Syramy Ashraf



Pasir Mas,31 1244H Mei 2005

2 comments:

Anonymous said...

syukran atas ulasan sajak ini..amat menghargainya..tak sangka puisi yg dibuat secara tak sengaja ini mendapat perhatian.. syukran cikgu ramy..
yalin

ramy0722 said...

Sama2/afwan, bukan mengulas tu tp mencoret, saya baru je belajar jgnlah marah klu terasa pedas dan pelik sikit pun. Maklumlah baru belajar.