Rintihan seekor kuman
Wujudku tak terkesan
ada bagai tiada
hadir tak terperasan
di mana-mana,merata-rata
Aku makhluk bernyawa
bernafas dan hidup
aku perlu usaha
mencari santap
segala daya
walau sesuap
Ku mencari makan
pada haiwan
pada tumbuhan
pada badan
di luar
di dalam
pada bangkai
pada buangan
Aku jua seperti hidupan lain
hidup menumpang yang hidup
membunuh untuk hidup
Aku bahaya
aku kejam
aku zalim
aku diburu
aku dinyah
dengan antibiotik
dengan antiseptik
Segala yang terkeji untukku
biar seperti mereka hidupku
Benarkah aku sekeji itu?
25 2354H 2004
Pasir Mas
((((((((@@@)))))))))
Catatan buat kekasih
Andai ada benih-benih cinta
kan kusemaikan untukmu
Andai ada sejambak impian
kan kugubah untuk bersamamu
Andai ada segenggam janji indah
kan kubahagiakan dirimu
Andai ada manik-manik setia
kan kuuntaikan menjadi rantaimu
Andai ada secangkir rindu
kan kuhidang semanis kenangan bersamamu
Andai ada selaut pengorbanan
kan kubiarkan diri hanyut denganmu
Andai kau baca catatanku ini
kan kudedikasikan teristimewa untukmu
29 0024H Jun 2004
Pasir Mas
Penyair adalah insan yang menukilkan peristiwa di persekitarannya dalam susunan kata-kata puitis.
Banners
About Me
- ramy0722
- Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment