Banners

About Me

My photo
Nama sebenar Wan Mohd Ashraf bin Wan Mohamed,lahir di Kg.Siram,Pasir Mas,Kelantan Darul Naim. Dari nama kampung kelahiran terwujudlah nama pena As-Syramy yang ringkasnya menjadi ramy.Ramy0722 pula gabungan dengan tarikh lahir 22.07.1969.Selain As Syramy,nama pena lain ialah Piut Tok Kerasak dan Abe Long.Pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam,Akademi Islam,Univ.Malaya(batch of 1989-1993).Pada Mei 1993 ditugaskan sebagai guru di SMK Jalan Apas,Tawau,Sabah(1993-1996) kemudian Julai 1996 dipindahkan ke Maktab Tentera DiRaja(MTD/RMC) hingga Jan.2001.Dari Jan.2001 hingga kini bertugas di SMK Rantau Panjang,Kelantan.Telah berkahwin dan mempunyai 2 putera dan 3 puteri.Terlalu muda dalam dunia penulisan atau sastera ini, genre yang diminati hanyalah puisi,minat menulis sejak dari sekolah menengah lagi. Bukanlah penulis ternama atau mapan.Terima kasih atas tunjuk ajar penulis mapan seperti pak Arisel,DrIr Wan,Nakhoda dan lain-lain di www.esastera.com/penyair. Juga terima kasih atas bimbingan sdr.Aminhad semasa di MTD dan Cikgu Moechtar Awang di SMKRP.

Monday, February 14, 2005

Puisiku

Hakikat Rindu

Rinduku ini
bertakhta di mata
bermakam di mulut
beraja di hati

Rinduku ini
biar hanya di suatu sudut terpencil di penjuru hati
kan terasa amuknya di seluruh jiwa
kan membara ledak laharnya di sekujur jasad

Rinduku ini
kan selamanya terkunci di kalbu
kan selamanya terpahat di benak
biar kasih dan cinta berkecai

Kerna rindu bukan hanya milikku

-AsSyramy
20 2222H Jun 2004
Pasir Mas

&&&&&&&&&&&&

Satu tak terbilang

Engkaulah yang satu
sejak azali
zat yang satu
tiada mati
sifat yang satu
tiada kongsi
laku yang satu
tiada ditandingi

Satu yang sempurna
satu dalam semua
semua dalam esa

Satu tak terbilang

-AsSyramy
22 2300H Jun 2004
Pasir Mas




1 comment:

ramy0722 said...

Mencari arah satu tafsiran – airmas_sz







Assalamualaikum…



saya tertarik untuk membicarakan satu sajak yang pada saya mempunyai satu bentuk yang tersendiri dalam kelas-kelas sajak yang saya pernah lihat, sajak yang hendak saya bicarakan itu adalah satu karya dari sdr Ramy @ AsSramy yang bertajuk “SATU TAK TERBILANG”.



Dalam pascarasa satu-satu sajak kita tidak dapat lari dari menemui bentuk yang kadang-kadang membantu pemikiran kita dan adakalanya membantutkan, maka terserlah kepada seorang yang menafsir itu untuk melihat sinar di hujung perjalanan ataupun mencari rabik dan rabak sesuatu sajak itu. Saya berharap sangat agar saya tidak tergolong didalam kelompok yang hanya mencari lompong dalam menafsir sajak-sajak.







Kita lihat pada sajak saudara Ramy yang membunyai 12 baris , satu sajak yang ringkas membicarakan perihal ketuhanan , cerita tentang Maha Agung memang tidak akan habis walau seringkas manapun gejolak yang kita tanggung. Sajak ini mempunyai dua rangkap dengan satu baris akhir yang terasing ,rangkap pertama 8 baris rangkap kedua 3 baris dan satu baris akhir tentu sekali sajak ini bebas sifatnya.







Namun walau sajak itu bebas sifatnya apakah perlu setiap patah kata juga boleh bersifat bebas sebergitu, bergitu? (saya baru terbaca saudara ulasan balas Ramy terhadap cadangan saya agar perkataan “kongsi” lebih manis jika menjadi “seteru” dari papan nota)



Mari kita lihat pada baris-baris yang terlakar dari kamar ilham saudara Ramy.dan seboleh-bolehnya saya cuba dengan kefahaman saya sendiri yang tidak ada formaliti dalam arena sastera , kepada saudara Ramy anggap sahaja tulisan saya ini sekadar melepaskan kefahaman saya yang cetek ini keatas elemen bahasa yang ada dalam karya saudara.



1. Engkaulah yang satu





Baris pertama menekankan perkataan gantinama kedua “engkau” yang di kuatkan dengan “lah” menjadi “engkaulah” satu unsur penekanan untuk menyakinkan penyair itu bahawa Engkau itu satu , dan Engkau itu tentu sekali Allah tuhan sekalian alam yang menjadikan manusia dan tumbuh-tumbuhan. Namau baris ini bukanlah satu ayat yang baru malah menjadi satu ayat yang tidak lapuk diperkatakan dari bibir ke bibir manusia dari zaman Nabi Adam hingga ke alam umat Nabi Muhammad



2. sejak azali



Azali yang membawa makna permulaan masa, maka baris ini menekankan bahawa Allah itu hanya ada satu sejak dari permulaan masa dan perkataan “sejak” yang hadir sebelum perkataan “azali” itu dengan jelasnya penyair mengatakan tentang masa dan waktu dimana kita fahami Allah itu sejak dari permulaan masa hingga ke saat ini hanya satu tidak Dia bertambah menjadi dua , tidak dia beranak dan di peranakkan.



3. zat yang satu



Biar saya ambil sedikit maklumat tetang zat :



“Pada martabat zat, segala sifat, nama dan semua kewujudan lenyap di dalamnya, tidak boleh disaksi dan ditakbir lagi. Selagi boleh disaksi dan ditakbir ia masih lagi sifat bukan zat. Apabila sampai kepada perbatasan: “Lemah mengadakan pendapat tentang zat Ilahiat”, seseorang tidak ada pilihan melainkan mengakui wujudnya zat Wajibul Wujud (Wajib Wujud) kerana jika tidak wujud zat nescaya tidak ada sifat dan tidak ada kejadian atau perbuatan. Seorang bukan ahli kasyaf bermakrifat dengan akalnya dan beriman kepada zat Wajibul Wujud setelah terjadi kebuntuan akalnya mengenai hal ketuhanan pada suasana yang diistilahkan sebagai Wahadiyyah atau suasana pentadbiran Ilahi yang juga dipanggil Rububiah. Akal menyaksikan Rububiah atau hal ketuhanan yang menggerakkan sekalian makhluk. Peringkat kesudahan pencapaian akal dan ilmu makhluk dinamakan Hijab al-‘Izzati atau benteng keteguhan. Ilmu sekalian orang alim dan arif terhenti di sini. Zat Allah s.w.t tidak diketahui oleh makhluk kerana Dia tidak termasuk di dalam sempadan maklumat, pendapat dan kenyataan. Allah berfirman :






Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). ( Ayat 30 : Surah a-li ‘Imran ) “



(yang warna biru ini adalah dari rujukan sila rujuk di bawah)







4. tiada mati



Sesungguhnya Allah itu tidak akan mati jikalau matinya Allah apa pula jadinya manusia ini.





5. sifat yang satu



Mungkin saya dalam tafsiran saya ini saya tersilap untuk memahami makna “sifat” tetapi dalam kefahaman saya yang daif ini, Allah itu tidak hanya satu sifatnya malah lebih dari satu, maksud saya sifat wajib, sifat mustahil dan sifat “kun faya kun”



6. tiada kongsi



Di baris ini merupakan baris yang membuat saya sedikit keliru kerana perkataan kongsi jarang sekali kita temui tentang tuhan , maka sebab itu saya mengusulkan perkataan “seteru” lebih afdal untuk menyokong lima baris yang di atas. tidak hanya kerana untuk memenuhi tuntutan rima maka kita tolak ketepi makna sesuatu perkataan itu , ataupun kalau masih ingin berlegar dalam rima itu boleh saja gunakan perkataan “sangsi” yang juga boleh menguatkan lima baris diatas.




7. laku yang satu



di baris saya tenggelam dan tewas untuk menafsir makna yang tersirat , apakah yang laku terhadap yang satu? Apakah laku itu dari kata “kelakuan” yakni perangai atau laku itu dari kata “Laku habis di jual”. Saya simpan saja penafsiran saya disini, kerana saya tidak faham maknanya..



8. tiada ditandingi



tentu sekali tiada siapa yang dapat menandingi Allah yang maha agung , walau ada yang cuba dengan segala kekuatan yang ada dan ada juga yang cuba dengan tipu muslihat mereka namun yang terperdaya hanyalah mereka yang lemah imannya kita baca sedikit kisah di bawah semoga membawa keinsafan kepada kita.









BANGUNAN YANG TIDAK ROSAK DAN PEMILIK YANG TIDAK BOLEH MATI




Diriwayatkan seorang raja berhasil membangunkan kota dengan segala keperluannya yang cukup megah. Kemudian raja itu mengundang rakyatnya untuk berpesta ria menyaksikan kota itu. Pada setiap pintu, penjaga diperintahkan untuk menanyai setiap pengunjung adakah cela dan kekurangan kota yang dibangunnya itu.



Hampir seluruh orang yang ditanyai tidak ada cacat dan celanya. Tetapi ada sebahagian pengunjung yang menjawabnya bahwa kota itu mengandungi dua cacat celanya. Sesuai dengan perintah raja, mereka ditahan untuk dihadapkan kepada raja.



"Apa lagi cacat dan cela kota ini?" tanya raja.



"Kota itu akan rosak dan pemiliknya akan mati." Jawab orang itu. Tanya raja, "Apakah ada kota yang tidak akan rosak dan pemiliknya tidak akan mati?"



"Ada. Bangunan yang tidak boleh rosak selamanya dan pemiliknya tidak akan mati." Jawab mereka.



"Segera katakan apakah itu." Desak raja.



"Syurga dan Allah pemiliknya," jawabnya tegas.



Mendengar cerita tentang syurga dan segala keindahannya itu, sang raja menjadi tertarik dan merinduinya. Apa lagi ketika mereka menceritakan tentang keadaan neraka dan azabnya bagi manusia yang sombong dan ingin menandingi Tuhan. Ketika mereka mengajak raja kembali ke jalan Allah, raja itu pun ikhlas mengikutinya. Ditinggalkan segala kemegahan kerajaannya dan jadilah ia hamba yang taat dan beribadah kepada Allah.








9. Satu yang sempurna



10. satu dalam semua
11. semua dalam esa





minta maaf…. tiga baris dari rangkap kedua ini kalau tersilap tafsir boleh membawa makna yang memesong akidah menurut tafsiran saya. kita tahu dalam doktrin kristianiti ada menyebut tiga dalam satu dan satu dalam tiga yang cuba mengatakan bahawa tuhan itu asalnya satu menjadi tiga dan akhirnya kembali menjadi satu dengan kepercayaan bahawa ketiga-tiga itu juga tuhan. saya tidak fikir ini yang cuba di gambarkan oleh penyair tetapi ini masaalah saya. Mungkin saya terlalu kuat daya “kemelencungan” hingga saya boleh pergi ke batas-batas yang tidak berpenghujung, namun saya rasa ini kewajipan saya untuk memberi tahu hasil galian saya disini




12. Satu tak terbilang







di baris akhir ini sekali lagi saya keliru dengan pengunaan bahasa yang di pilih oleh saudara Ramy. “Satu” itu adalah angka yang tentu sekali boleh kita gunakan sebagai angka bilangan , maksud saya boleh di bilang namu kalau sudah hanya ada satu bagai mana mahu di bilang , pelik bukan hanya ada satu dan mahu di bilang , tetapi pada saya yang tidak beberapa mahir ilmu hisab ini tentu sekali saya katakan satu itu boleh di bilang , saya turunkan contoh saya di sini. Katakan kita ada dua pokok di tengah ladang dan minta di bilang makan jumlahnya dua , tetapi kalau ada satu pokok sahaja apa tidak boleh di bilang? Bukan kah jawap nya tetap satu tidak akan dia lari dari satu kerana satu itu tetap satu dan bilangan nya tetap satu, jadi bagai mana dengan baris ini ? satu tidak terbilang?



Mungkinkan terbilang itu dari slogan cemerlang, gemilang dan terbilang? Nauzubbilah, tidak mungkin Allah itu tidak terbilang. Kerana dia itu terbilang dari sebelum ujudnya Manusia itu.







Ringkasan


Pemikiran yang ada dalam satu sajak pada saya tentu sekali membayangi diri pengkarya , oleh itu sang pengkarya boleh saja menghasilkan karya agung atau karya picisan tetapi bagi penafsir yang oportunis tentu sahaja melihat bisik-bisik yang ada di sebalik patah-patah perkataan , kalau kita mahu menggali di lombong ilham tentu sekali kita datang dengan lengkap peralatannya kalau tidak nanti lombong itu runtuh dan kita tertimbus dengan kata-kata yang tidak bermakna , walau ada usaha menyelamat dan setelah terselamat namun tubuh yang tertimbus tetap membawa luka dari kemalangan yang tidak di sengajakan



Membaca karya saudara Ramy ini saya membuat kesimpulan bahawa beliau yang amat ketara minat dan iltizamnya terhadap puisi, dan kalau di teruskan tidak mustahil bakal tercelik sebutir permata dari karya beliau (ada antara karyanya yang bagus dan nyaman untuk di baca). Saya harap beliau dapa menerima ulasan saya dengan hati terbuka, mungkin ini hanya pandangan saya dan ada pandangan lain yang lebih baik maka seharusnya kita mengambil yang baik itu sebagai telada dan yang buruk itu sebagai sempada. Akhir kata sekali saya memohon maaf kiranya ulasan saya ini menyinggung perasaan saudara Ramy.







Rujukan :



http://search.cari.com.my/dictionary/dic_malay.php



http://asaspedoman.tripod.com/sifat20.html



http://alhikam0.tripod.com/hikam046.html



http://teladan98.tripod.com/teladan56.htm



http://www.communityzero.com/penyair?go=c942005







mula 4.35 pagi tamat 7.58 pagi 26/06/2004

___________________________

Waalaikumussalam,
Ramy mengucapkan terimakasih atas ulasan puisi
"Satu tak terbilang".Sesungguhnya ulasan airmasz ini adalah satu pelajaran yang amat berharga bagi ramy,iaitu kita tidak boleh menganggap dan menanggap orang lain seperti kita. Jadi penyair perlu berhati-hati dalam pemilihan kata agar tidak disalah tafsir,bukan itu saja boleh menyebabkan mesej yang ingin di ketengahkan tidak kesampaian.

Terima kasih sekali lagi kerana menyedarkan ramy. Jua terima kasih pada saudara syafiq atas nasihat beliau. Kini ramy baru teringat pesan ayahanda,tajuk
aqidah yang rumit jangan dibicarakan di khalayak.

Di sini ramy memberi sedikit penjelasan,bukan ingin menegakkan benang yang basah.Tapi andai tidak diperjelaskan ramy akan berdosa dengan Allah,andainya
selepas penjelasan ini sdr airmasz atau ahli esastera semua rasa perlukan pembaikan padanya, ramy akan usahakan. Jika pula rasa ia perlu dimansukhkan dari esastera dan itu yang terbaik demi menjaga kesucian Islam dan keagungan Allah, ramy pasrah.


Rangkap pertama sepatutnya dibaca berpasangan begini :
1. Engkaulah yang satu
sejak azali

Maksudnya : Allah itu esa sejak azali lagi


2. zat yang satu
tiada mati

Maksudnya : Allah itu esa pada zat-Nya Yang Baqa'.

3. sifat yang satu
tiada kongsi

Maksudnya : Allah itu Esa pada sifat-Nya tiada sekutu.

4. laku yang satu
tiada ditandingi

Maksudnya : Allah itu esa pada perbuatan-Nya tiada tandingan.

Rangkap kedua pula:
5. Satu yang sempurna
satu dalam semua
semua dalam esa

Ini konsep Wihdatul Wujud iaitu Allah itu sempurna,dgn sifat Maha Esa itu Dia mencipta semua. Dan kesemua yang dicipta dalam ilmu-Nya.

Rangkap akhir :
6. Satu tak terbilang


Maksudnya Allah itu tersendiri.Esa-Nya itu tak terbilang kehebatannya.

Itulah mesej yang ingin ramy sampaikan.Terima kasih sekali lagi kepada sdr.airmasz dan syafiq,yg sudi membimbing ramy dan mengasah sensitiviti ramy bila mencipta puisi.

Wallahu A'lam.

Wassalamualaikum wrt.wbh.